‘Semangat persahabatan’ mungkin jawatan Presiden, Timbalan dan Naib tidak dicabar

‘Semangat persahabatan’ mungkin jawatan Presiden, Timbalan dan Naib tidak dicabar
(kiri) Datuk Salahuddin Ayub dan (kanan) Mohamad Sabu

Parti AMANAH Negara (AMANAH) dijangka akan terus mengekalkan kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan jawatankuasa pimpinan utama parti pada konvensyen yang akan diadakan pada Disember ini, kataa penganalisis politik Dr Mazlan Ali.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM),  berkata demikian,  ketika ditanya mengenai kedudukan barisan utama kepimpinan parti dan  empat jawatan naib presiden yang berkemungkinan akan dicabar dalam pemilihan kali pertama diadakan sejak AMANAH ditubuhkan pada September 2015.

Dr Mazlan Ali... pengkaji politik dari UTM.

Dr Mazlan Ali

Beliau menjelaskan walaupun pemimpin-pemimpin utama parti itu kini berada di dalam barisan kabinet kerajaan Pakatan Harapan sebagai menteri dan timbalan menteri serta memegang jawatan dalam agensi dan menjadi wakil rakyat, beliau yakin atas semangat persahabatan, jawatan dua teratas tidak akan dicabar oleh
mana-mana ahli

“Saya jangka pimpinan AMANAH akan kekal dengan Mat Sabu ( Mohamad Sabu) terus menerajui sebagai presiden dan Salahuddin (Datuk Salahuddin Ayub) sebagai timbalan presiden.

“Struktur kepimpinan AMANAH sekarang terikat dengan semangat persahabatan.

“Saya tidak jangka akan ada mana-mana pemimpin bersedia untuk mengubah hirarki yang ada.

“Ini kerana pemimpin-pemimpin utama yang ada sekarang dianggap masih mampu memimpin dan mempunyai populariti yang tersendiri,”ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

AMANAH mengadakan pemilihan parti tahun ini, dimulakan dengan mesyuarat agung tahunan peringkat kawasan bermula 1 Julai hingga 31 Ogos ini.

Pemilihan kepimpinan AMANAH sepatutnya diadakan tahun lepas tetapi ditangguhkan susulan permohonan penangguhannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Sehingga kini Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyatakan keputusannya untuk tidak mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi AMANAH Pulau Pinang tanpa menyebut sama ada beliau akan mempertahanan kerusi naib presidennya.

Manakala bagi kepimpinan Negeri, Pengerusi AMANAH Melaka Adly Zahari sudah menyatakan pendiriannya untuk mengekalkan kerusi disandangnya dalam pemilihan kali ini.

Bagi Pengerusi AMANAH Kelantan Wan Rahim Wan Abddulah yang kini dilantik Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) juga dijangka tidak akan mempertahankan kerusinya pada pemilihan kali ini, kerana telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilih parti itu yang tidak membenarkannya bertanding sebarang jawatan.

Bagi sayap parti Ketua Wanita AMANAH Nasional (Awan) Dr Siti Mariah Mahmood tidak mempertahankan kerusinya pada pemilihan sayap wanita parti itu untuk memberikan lebih perhatian kepada tugasnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang dan memberi peluang kepada wanita muda memimpin.