Malaysia Dateline

Semangat Revolusi Perancis demi persamaan, persaudaraan

Ketika tentera Napoleon Bonapharte sampai di Giza kawasan luar kota Kaherah, mereka terkejut melihat piramid yang begitu besar dan tersergam. Di sebelah piramid itu pula terletak patung sphynx yang begitu mengkagumkan. Sphynx adalah singa berkepala manusia.

Seorang tentera Perancis menembak hidung sphynx itu dan pecahlah batu itu, hingga ke hari ini ia menjadi cacat. Mereka kemudian memanjat piramid, mengukur, melukis dan itulah pertama kali Eropah sedar mengenai kewujudan Mesir purba.

Kemasukan tentera Bonapharte ke Mesir tidak menerima tentangan. Mesir yang berada dalam kekhalifahan Uthmaniah berpusat di Istanbul sedang mengalami zaman kemerosotannya.

Perancis kemudian menakluk wilayah-wilayah Uthmaniah di Afrika Utara iaitu Maghribi, Algeria dan Tunisia. Itali menakluk Libya. Mesir jatuh pada Britain. Di Timur Tengah, Perancis menguasai Lubnan. Mereka membahagikan Syams. Perancis mengambil Syria dan Britain menguasai Iraq.

Perancis muncul sebgai kuasa penjajah terbesar kedua dunia selepas Britain. Dari sekecil-kecil pulau di Lautan Pasifik, Atlantik dan Hindi sehinggalah sebesar-besar padang pasir di benua Afrika.

Di Asia Tenggara mereka menguasai Vietnam, Kemboja dan Laos. Di Amerika utara, mereka memiliki Quebec dan Lousiana tetapi hartanah paling besar yang mereka takluk ialah benua Afrika.

Dari Afrika Utara hinggalah ke Mandagascar, mereka menjajah dan menjarah, mengangkut hasil kekayaan. Tentera kolonial mereka, Foreign Legionnaires menjadi terkenal dengan kecekapan dan kekejamannya.

Di benua Afrika, mereka bersaing dengan Belgium, Jerman dan Britain. Di situlah juga mereka bertembung dengan umat Islam. Kekejaman penjajah lebih kurang sama. Walaupun mungkin Belgium paling kejam di Congo.

Ketika kuasa-kuasa kolonial Eropah menjajah  Afrika pada kurun ke-19, ia adalah benua umat Islam. Maksudnya sebahagian besar negeri yang bertamadun  di situ didiami dan diperintah oleh kerajaan Islam.

Hanya di sebelah timur, iaitu di Habsyah diperintah kerajaan Kristian. Sementara di bahagian selatan didiami oleh kerajaan suku kaum peribumi Afrika.

Tetapi di pesisir timur Afrika terdiri kerajaan islam, begitu juga di Afrika Barat dan tengah, daripada Afrika Utara, gurun Sahara, Mali hinggalah ke bahagian barat diperintah kesultanan-kesultanan. Kuasa Eropah yang mula sampai di Afrika ialah Portugis yang kemudiannya menjajah Mozambique dan Angola.

Pun begitu, kesultanan-kesultanan itu pun bukan semuanya baik. Antara kerajaan yang baik ialah kekhalifahan Sokoto di Nigeria Utara.. Khalifah Uthman Dan Fodio memberikan keadilan pada rakyatnya melalui syariah. Tetapi banyak kerajaan islam lain  di benua itu turut bersubahat dengan kuasa penjajah dalam perdagangan hamba abdi yang dieksport ke Amerika. Nigeria dijajah oleh kedua-dua, Perancis dan Britain.

Antara negara Islam yang dijajah Perancis ialah Maghribi, Algeria, Tunisia, Mali, Mauritania, Chad, Afrika Tengah, Djibouti, Niger, Ivory Coast, Senegal, Gambia, Comoros dan Benin.

Maka tidak hairan bahawa tiga bahasa rasmi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ialah Arab, Inggeris dan Perancis. Bekas tanah jajahan itu menjadikan Perancis sebagai bahasa rasmi  yang menyebabkan mereka digelar sebagai negara-negara Francophone.

Ada satu ketika Perancis menjadikan Algeria sebagai sebahagian daripada negaranya. Orang Perancis berhijrah ke sana, membuka penempatan dan ladang. Banyak juga orang Perancis ternama lahir di sana.

Umpamanya, sasterawan Albert Camus. Rancangannya ialah Algeria menjadi Perancis kedua. Tetapi mereka memperoleh tentangan dan berlaku perang kemerdekaan. Malah ada orang Perancis yang turut menyokong perjuangan kemerdekaan Algeria. Akhirnya Algeria merdeka dan Perancis berundur.

Pertembungan Perancis dengan umat Islam melahirkan juga golongan intelektual yang berminat terhadap Islam. Ada yang membuat kajian dan pengaruh islam masuk juga ke pemikiran nasional Perancis.

Ahli sejarah beraliran kiri, Maxime Rodinson menulis sebuah biografi Nabi Muhammad s.a.w. dengan menyifatkan baginda sebagai “saudaraku.” Begitu juga, siapa yang tidak mengenal Maurice Buccaille yang membawa kaedah Buccaillisme iaitu mencari bukti sains dalam Al-Quran.

Selepas Perang Dunia Kedua, walaupun pada mulanya kalah dengan Jerman, Perancis muncul sebagai salah sebuah kuasa besar yang mempunyai undi veto dalam Majlis Keselamatan PBB. Negara itu juga muncul sebagai kuasa nuklear yang merosakkan pulau-pulau di Lautan Pasifik.

Kebanyakan bekas tanah jajahan Perancis mencapai kemerdekaan tetapi kepentingan ekonomi Perancis tetap tidak dilepaskan. ia berlaku di Madagascar dan banyak negara bekas tanah jajahan lainnya.

Maka ketika Perancis terus maju dan kaya, hampir semua bekas tanah jajahannya termasuk Algeria dan Tunisia tidak dapat membangun dan maju. Akhirnya dengan suasana tidak selamat, banyaklah bekas anak jajahan Perancis ini berhijrah. Mereka menyeberangi Lautan Mediterranean, berhijrah dan menetaap di Perancis.

Bekas tanah-tanah jajahan di Afrika adalah negara-negara malang. Bukan saja bekas tanah jajahan Perancis tetapi juga Britain dan Belgium. Walaupun merdeka, mereka tidak dapat mengecapi kemakmuran dan keamanan. Pemimpin-pemimpin yang muncul bukan saja tidak cekap tetapi juga korup dan kejam.

Akhirnya berlaku peperangan dan kesengsaraan berpanjangan yang membawa kepada timbulnya gerakan keganasan khususnya di kalangan orang Islam seperti kumpulan Boko Haram. Kekejaman mereka ini membawa kepada orang Afrika menjadi pelarian dan berhijrah ke Eropah.

Maka umat Islam menjadi minoriti penting dalam masyarakat Perancis yang berbilang kaum, agama dan budaya. Bukan saja kulit putih tetapi kulit hitam dan berwarna. Tentulah keadaan ini menimbulkan ketegangan yang melahirkan Islamofobia dan munculnya gerakan neo-fasis anti pendatang.

Hakikatnya ialah apabila sesebuah negara menjadi penjajah, akhirnya ia akan menanggung beban sejarah. Bekas tanah dan anak jajahannya akan selamanya menjadi sebahagian daripadanya. Tidak akan ada lagi Perancis tulen tanpa bekas anak jajahannnya.

Bonapharte adalah Maharaja Perancis yang muncul daripada Revolusi Perancis abad ke-18. Revolusi ini merobah masyarakat Perancis daripada bentuk beraja dan keagamaan kepada republik sekular dengan menolak sebarang penghormatan kepada sesuatu yang suci.

Dengan slogan Kebebasan, Persamaan dan Persaudaraan, revolusi ini mendukung kebebasan bersuara dan berfikir. Dalam kebebasan ini, mereka boleh menghina apa saja termasuk sesuatu yang suci. Agama juga menjadi sasaran.

Revolusi Perancis itu menyaksikan pertumpahan darah yang besar hingga akhirnya ia berhenti sendiri apabila sudah terlampau banyak warga negara sendiri terkorban. Walaupun ia mendirikan republik tetapi revolusi itu membuka ruang bagi Perancis menjadi empayar dan seterusnya menjadi kuasa kolonial.

Tetapi apa yang dilakukan oleh majalah Charlie Hebdo adalah suatu tindakan provokatif untuk merendahkan lagi martabat umat Islam di Perancis yang sedang dipinggirkan dan menghadapi tekanan Islamofobia.

Dalam keadaan golongan minoriti yang tertekan ini, apa yang tinggal hanyalah maruah dan harga diri. Harga diri itu pula adalah berkaitan dengan agama. Maka berlakulah peristiwa malang itu, yang bukan hanya menimbulkan ketegangan antara orang Islam dengan pihak majoriti di Perancis tetapi melibatkan juga hubungan negara itu dengan dunia Islam di luar.

Tetapi tindakan keganasan yang dilakukan oleh orang Islam di Perancis juga tidak boleh diterima Pembunuhan kejam itu memburukkan lagi kedudukan umat Islam di negara itu. Ia bukan wajah sebenar Islam.  Pastinya Islamofobia bertambah meningkat dan yang akan menjadi mangsa nanti adalah orang Islam juga.

Episod malang itu perlu dihentikan segera. Perancis tidak akan dapat mengasingkan diri daripada umat dan dunia Islam. Begitu juga umat dan dunia Islam pula tidak boleh mengasingkan diri dripada Perancis. Sejarah adalah perjalanan peristiwa yang telah berlaku.

Semangat Revolusi Perancis bukan semata-mata untuk kebebasan bersuara menghina warga negara sendiri. Ia juga menetapkan persamaan semua warga negaara, tanpa mengira mereka majoriti atau minoriti. Persaudaraan juga tonggak dalam semangat Revolusi Perancis. Persaudaraaan sesama warga negaranya.

*ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.