Malaysia Dateline

Semangat Uncle Cheng, kalah menang tetap dengan PH

Cuaca panas terik kadangkala hujan sejak beberapa hari lalu tidak membantutkan semangat penduduk Tanjung Piai yang mula membondong bondong menghadiri kempen dan ceramah Pakatan Harapan (PH).

Salah seorang pengundi, Cheng Wee Sing, yang berusia 58 tahun, masih kuat berjalan merempuh ribuan penyokong dan pengundi Pakatan Harapan (PH) dalam Ceramah Mega PH semalam.

Dia yang lebih mesra dikenali sebagai Uncle Cheng  enggan fotonya dirakamkan  lensa Malaysia Dateline berkata, peluang emas tidak akan dilepaskan untuk mendengar ucapan pemimpin biarpun kediamannya sejauh 20 kilometer dari lokasi ceramah.

Bagi seorang pengundi di saluran 2  kudratnya itu sememangnya mengagumkan apatah lagi dia yang siap berbaju merah PH juga kadang kala bersorak kecil ‘PH PH’ bersama genggamam bendera di tangan.

“Ini PH mesti (kena) menang di sini. Kita sudah pilih dia, kita akan terus pilih dia.

“Zaman Tun dulu, buka sahaja peniagaan, semua maju. Wang masuk banyak. Tapi masa sekarang ekonomi agak susah, mau buka khemah niaga pun kena fikir banyak kali,” katanya yang  ketika itu bersama penyokong lain mula bergerak meninggalkan lokasi ceramah Mega selepas selesai majlis.

Diajukan andaian bagaimana sekiranya PH tidak dapat menabur bakti di Tanjung Piai, lelaki tua yang bekerja sebagai penjual pakaian itu, dengan tegas menolak.

“Tak mahu lah (kalah). Boleh menang, boleh punya,” katanya yang sedikit tinggi intonasi menunjukkan pendiriannya tidak menyokong parti lawan biarpun meletakkan bangsanya sendiri sebagai calon.

Berjalan perlahan di sisi Uncle Cheng, kelihatan seorang wanita lingkungan 60 tahun yang dalam pengamatan, ini pasti isterinya yang senyap dari awal perbualan dan mengangguk setiap kata Uncle Cheng.

“Maaf ya. Saya bawa orang tua, kena balik cepat,” selorohnya yang mengusik isteri di sebelah sebelum melambai dan mengibar kecil bendera Harapan.

Uncle Cheng merupakan pengundi dan akan mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chiao, Permas Kukup.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunya dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.55 Pekan Nenas dan N.56 Kukup.

Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

SPR memaklumkan, daftar pemilih pilihanraya yang akan digunakan untuk PRK ini adalah sehingga suku tahun kedua tahun 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September 2019.

Daftar pemilih mengandungi 52,986 orang pengundi yang terdiri daripada 52,698 orang pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara.