Malaysia Dateline

Semarak NAFAS 2021, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan aplikasi Penghijauan Malaysia

Nature Art Festival (NAFAS) 2021 anjuran Rakan Segari dan Laman Karya Lumut (LAKAR) telah melabuhkan tirai pada 2 Oktober lalu.

Festival ini disokong oleh The Cultural Economy Development Agency (CENDANA) dan juga Global Environment Facility (GEF)-Small Grants Programme (SGP) bersama United Nations Development Programme (UNDP).

Bertemakan “Hari Sungai Sedunia”, festival ini membawakan beberapa program kesedaran alam sekitar melalui bengkel latihan, pertandingan seni lukis dan fotografi alam sekitar, video pameran, persembahan kesenian, dan dokumentari secara dalam talian kepada masyarakat, khususnya buat warga Manjung.

Program penanaman pokok merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan sepanjang seminggu program ini berlangsung. Namun, atas kekangan pandemik Covid-19 dan bagi mematuhi prosedur kesihatan, ia tidak dapat dijalankan secara besar-besaran seperti sebelum ini.

Oleh itu, penganjur telah menjalankan lima sesi penanaman bersama komuniti di sekitar Manjung, dengan bekalan anak pokok daripada Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Rakan Segari.

Sebanyak 125 anak pokok pelbagai spesies berjaya ditanam sepanjang program NAFAS 2021 dengan kerjasama pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Sesi penanaman pokok yang pertama telah dijalankan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari. Seramai 23 orang peserta terlibat untuk penanaman 51 anak pokok merambong/ ambong-ambong (Scaveola taccada) di pesisir Pantai Pasir Panjang.

Untuk makluman, ambong-ambong merupakan spesies tumbuhan yang signifikan dengan pendaratan penyu di kawasan pantai.

Oleh itu, penanaman pokok spesies ini juga merupakan salah satu usaha konservasi masyarakat setempat untuk memelihara dan memulihara kawasan pendaratan penyu di pantai tersebut. Di samping itu, para peserta juga tidak ketinggalan untuk mengutip dan mengasingkan sampah di sekitar kawasan pantai.

Sesi kedua penanaman pokok telah diadakan di Pantai Teluk Ketapang, Pulau Pangkor. Anak pokok ambong-ambong dibawa dari Seri Manjung ke jeti Marina Island dengan bantuan Unit Landskap MPM, dan dihantar ke Teluk Ketapang menaiki bot daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.

Sebanyak 30 anak pokok berjaya ditanam dengan bantuan pihak MPM dan komuniti Pangkor, antaranya komuniti Hello Pangkor dan Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Penyu Pulau Pangkor.

Sesi penanaman ketiga dan keempat berfokuskan penanaman spesies pokok kanopi, iaitu Merawan Siput Jantan (Hopea odorata).

Ahli qariah Masjid al-Khairiah di Kampung Sitiawan berjaya menanam 20 anak pokok Merawan Siput Jantan.

Pada sesi ketiga yang dijalankan di Kampung Sitiawan, para peserta dari kalangan ahli qariah Masjid al-Khairiah telah menanam sebanyak 20 anak pokok Merawan Siput Jantan di Ujung Tanjung, iaitu kawasan pesisir sungai yang menjadi tarikan pengunjung untuk beriadah sambil melihat pemandangan di Sungai Sitiawan. Ahli Parlimen Lumut, Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli juga tidak ketinggalan untuk turut sama menanam pokok bersama warga setempat.

Sesi keempat dijalankan di tiga buah komuniti sekitar Seri Manjung, iaitu di Fasa 2H, 2I, dan KRT Seri Manjung 7. Sebanyak 14 anak pokok telah ditanam di kawasan taman perumahan tersebut.

Sesi kelima dijalankan di Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar. Penanaman kali ini berfokuskan spesies bakau iaitu Tumu Merah (Bruguiera gymnorrhiza). Sebanyak 10 anak pokok Tumu Merah yang dibekalkan oleh Rakan Segari telah ditanam oleh Encik Nazim bersama ahli keluarga beliau.

Selain itu, kami juga telah menerima penyertaan dari beberapa kawasan di luar Perak, iaitu di Shah Alam, Kuala Langat (Selangor), Kuantan (Pahang), Pontian (Johor), dan Besut (Terengganu). Para peserta dari kawasan-kawasan ini telah menanam beberapa spesies anak pokok seperti durian, jambu batu, mangga, dan banyak lagi.

Selaras dengan Kempen 100 Juta Pokok anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang 2025, kami menggalakkan penggunaan aplikasi Penghijauan Malaysia yang dibangunkan oleh pihak KeTSA kepada para peserta untuk merekod pokok-pokok yang telah ditanam.

Lebih 45 peserta daripada kalangan penduduk bandar, pinggir bandar, dan pedalaman telah mendaftar melalui aplikasi ini. Kami telah masuk ke kawasan-kawasan kampung untuk mengajar masyarakat cara-cara mendaftar dan merekod penanaman pokok menggunakan aplikasi ini.

Pihak MPM dan Studio Nagarakota turut membantu dalam pembuatan video penerangan bagi memperkenalkan program penanaman pokok yang akan dijalankan dan juga tatacara penggunaan aplikasi ini.

Penghijauan Malaysia sangat membantu para penganjur untuk merekod pokok-pokok yang telah ditanam sepanjang festival ini berlangsung, disamping memperkenalkan Kempen 100 Juta Pokok anjuran KeTSA kepada masyarakat akar umbi.

Antara rekod anak pokok yang telah ditanam oleh komuniti Manjung.

 

Ditambahbaik

Namun, terdapat beberapa kekurangan pada aplikasi ini yang perlu diperbaiki dan ditambahbaik oleh pihak KeTSA supaya aplikasi ini dapat digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa perbezaan dari segi ciri pada sistem di telefon pintar dan web.

Pertama, ciri “Komuniti” amat membantu para penganjur program penanaman pokok untuk merekod dan mengemaskini pokok-pokok yang telah ditanam melalui komuniti yang telah dibentuk sesama peserta yang menggunakan aplikasi ini.

Namun, ciri ini hanya boleh diakses melalui web dan tidak terdapat pada telefon pintar. Permohonan menjadi rakan juga hanya dapat disahkan melalui web. Perkara ini jika ditambahbaik, pasti dapat membantu penganjuran program penanaman pokok secara dalam talian di beberapa lokaliti berbeza.

Selain itu, ciri pada telefon pintar meminta para pengguna supaya mengambil gambar terus daripada aplikasi untuk merekod pokok yang telah ditanam. Maka, mereka tidak boleh memuatnaik gambar pokok daripada galeri.

Namun, pengguna boleh memuatnaik gambar melalui web. Hasil pemerhatian kami, perkara ini telah menyukarkan pengguna yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai sambungan internet yang stabil untuk merekod tanaman mereka.

Kekurangan ini akan merugikan Kempen 100 Juta Pokok kerana para peserta akan berasa tidak bersemangat dan seterusnya tidak merekod pokok yang telah ditanam.

Beberapa orang peserta telah menerima ganjaran dalam bentuk buku terbitan MyBis. Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada KeTSA atas inisiatif yang dapat menarik minat masyarakat untuk menanam lebih banyak pokok ini.

Penebusan ganjaran dapat dibuat pada ciri “Ganjaran” yang disertakan dalam aplikasi ini. Namun, ciri pada telefon pintar tidak disertakan dengan jumlah mata ganjaran yang diperlukan untuk sebarang penebusan.

Butang untuk membuat penebusan juga tidak kelihatan. Tetapi, para pengguna boleh melihat mata ganjaran yang diperlukan dan mambuat penebusan terus jika melalui web.

Justeru, perkara ini akan menyebabkan para pengguna lebih gemar menggunakan web berbanding aplikasi telefon pintar. Terdapat banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dan ditambahbaik oleh pihak KeTSA ke atas aplikasi ini.

Kami dari Rakan Segari, sebuah koalisi yang dianggotai oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Laman Karya Lumut (LAKAR), dan beberapa komuniti lokal di Manjung ini amatlah berbesar hati jika pihak KeTSA ingin menyatakan kerjasama bersama pihak kami pada masa akan datang dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar di negara Malaysia yang tercinta ini.