Malaysia Dateline

Semarakkan Malaysia Prihatin, jangan ubahsuai ikut selera politik

Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh menyeru agar imej ‘Malaysia Prihatin’ di zahirkan bukan sahaja berlandaskan semangat patriotisme, bahkan juga perlu selari dalam mengangkat kembali imej negara dengan menolak pengkhianatan, budaya rasuah dan penyelewengan.

Beliau berkata, sebagaimana Islam menjatuhkan hukuman berdosa untuk jenayah merompak, membunuh dan mencuri, maka amalan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan wang serta kedudukan juga dianggap berdosa.

Beliau juga menegaskan bahawa bersekongkol dan bersubahat dengan mereka yang terlibat juga boleh dijatuhkan hukuman berdosa.

“Jadi janganlah berlindung di sebalik alasan bahawa amalan rasuah atau penyelewengan itu boleh disucikan apabila habuan daripadanya disedekahkan kepada anak yatim, masjid dan bakal haji seperti yang disebutkan dalam kes skandal 1MDB.

“Salah tetap salah dan pelakunya wajar menerima hukuman apabila didapati bersalah. Matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di awal catatannya yang mengajak rakyat Malaysia untuk menyamarakkan semangat Malaysia Prihatin, Pengerusi PKR Johor itu juga mengingatkan bahawa sikap tersebut perlu dibuktikan dahulu oleh pemimpin dan tidak retorik semata-mata.

Malah, ianya perlu konsisten sama ada sebagai pembangkang atau pemerintah dan tidak diubahsuai ikut selera politik.

Selain itu katanya, persepsi agama Islam yang sempit wajar ditangani dengan tuntas.

Kata Syed Ibrahim, akibat tindakan dan pandangan yang dikeluarkan oleh segelintir pemimpin Pas, maka amat malang apabila Islam kini dilihat dari kaca mata yang sempit di mana hanya pendapat ulama dan pemimpin Pas sahaja yang betul.

“Sedangkan yang sewajarnya berlaku ialah untuk kembali menghidupkan rasa kemanusiaan dan mengangkat darjat kemanusiaan itu sebagaimana firman Allah dalam ayat 70 surah Al-Isra’,” katanya lagi.