Sebelum bercinta, bukan main lagi bongkak konon kerja gaji ribuan ringgit, bila kena bayar makan terus gelabah.
Seorang wanita berkongsi kisah janji temu pertama, makan bersama lelaki yang baru dikenali, pada mulanya terlihat kaya rupanya tidak berkemampuan.
Boleh pula harapkan wanita bayarkan makanan, sudahlah dijemput dari rumah macam terbalik pula peranan.
Di bawah adalah perkongsian wanita tersebut.
Pernah dulu keluar janji temu dengan seorang lelaki ni, pergi makan, dia pilih makanan bukan main mahal jadi aku ingat dia bayar.
Bila dah habis makan aku tunggulah dia pergi buat bayaran tapi tak berganjak jadi aku pun tanyalah nak bayar ke sebab aku nak tunggu dekat kereta.
Terus gelabah, dia ingat aku yang bayarkan sebab dia terlupa nak bawa keluar duit. Bila aku suruh guna kad pula dia bagi alasan dah ‘expired’.
Aku malas nak gaduh ke apa dan pergilah bayar, jumlah makan untuk dua orang cecah RM140 sebab dia punya makanan dengan air sahaja dah cecah RM100.
Makanan aku ni RM40 je, dia siap pesan ‘mix lamb’ dengan air berlayer-layer yang gelas besar tu, bukan main lagi.
Sudahlah aku yang ambil dia dekat rumah mak dia sebab alasan adik pinjam kereta, masa aku sampai tu elok je kat rumah dia ada dua biji kereta.
Tak cukup dengan tu lepas aku balik dia mesej nak pinjam RM50 untuk buat belanja esok, aku malas nak layan dan terus sekat nombor dia.
Dalam kereta bukan main lagi borak kerja gaji ribu ringgit, selalu urusan luar negeri, beli barang semua guna tunai.
Tapi janji temu pertama pun perempuan ambil dekat rumah, belanja makan lagi, tergamak nak pinjam RM50 pula, sembang kencang betul.