Malaysia Dateline

‘Sembang nak PRU, elok potong gaji menteri dulu’ – Rakyat persoal cadangan hapus cukai jalan kenderaan

Cadangan supaya menghapuskan cukai jalan kenderaan walaupun dikatakan bagi meringankan beban rakyat, ramai menganggap itu tidak lebih hanya sembang pilihan raya umum (PRU).

Ada yang turut menyarankan lebih elok potong gaji menteri yang terlalu ramai itu terlebih dahulu.

Reaksi warganet itu susulan kenyataan Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip kelmarin bahawa sistem cukai kenderaan yang diguna pakai pada masa ini berkonsepkan ‘cukai atas cukai’.

“Potong gaji menteri 50 peratus dulu termasuk Ahli Parlimen, Senator, Adun, Speaker, timbalan 50 peratus,” kata Fuad Yaacob.

Ramai menyokong cadangan hapus cukai jalan kenderaan ketika insurans pun dah mahal nak bayar.

Tidak kurang juga yang secara sinis menganggap jika menang PRU nanti, ahli politik akan lupa apa yang dijanjikan.

“PRU dah dekat, macam-macam idea ahli politik timbul untuk tawan hati rakyat. Bila menang nanti, entah dia ingat tak apa yang dia cakap.

“Nak PRU, biasalah cadangan berbakul-bakul, pusing-pusing tang situ juga. Modal air liur je, yang tanggung susah rakyat juga.

“Sembang nak PRU. Lepas PRU, cukai jalan patut kena sebab nak bayar gaji maintanance,” perli beberapa netizen.

Rakyat juga ramai berpendapat penghapusan cukai jalan kenderaan dibimbangi akan mengurangkan hasil cukai negara untuk tujuan pembangunan.

“Rakyat Malaysia banyak belanja untuk makan lima kali sehari dan tengok wayang. Takkan bayar cukai jalan setahun sekali pun membebankan,” kata Napsiah Wan Salleh.

Dalam masa sama, terdapat juga kebimbangan kemungkinan cukai lain pula akan ditambah selepas penghapusan cukai jalan kenderaan selain penegasan supaya golongan kaya dan berkereta import perlu terus membayar cukai itu.

“Cadangan ni sesuai untuk B40 dan berkenderaan nasional sahaja. Yang kaya dan mampu kena bayarlah.

“B40 perlu diberi pelepasan cukai untuk semua barang dan perkhidmatan,” kata Affendi Ahmad pula.

Kelmarin, Muhammad Zahid berkata, pemilik kenderaan pada masa ini berdepan dengan sistem cukai yang berlapis-lapis seperti duti import, cukai eksais, cukai SST dan cukai jalan.

“Sudahlah mereka terpaksa membayar cukai yang berganda, rakyat khususnya yang tinggal di Lembah Klang seolah-olah terkepung dan terpaksa menggunakan laluan yang hampir semuanya dikenakan tol pada setiap hari.

“Rakyat Keluarga Malaysia tidak boleh terus dibebankan dengan ‘cukai atas cukai’ yang bertimpa-timpa ini dan Bajet 2023 adalah peluang terbaik untuk Perdana Menteri menggembirakan rakyat.

“Saya difahamkan ketika ini, konsultasi Bajet 2023 sedang berlangsung, saya berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan ini,” ujarnya lagi.

Baca juga Selamba brader motor ni menyusup bawah lori, aksi bebal ini dikecam orang ramai

Baca juga Akibat terlalu baik, gangster India tak jadi bunuh Shah Rukh Khan