Malaysia Dateline

Sembilan bekas MP PKR ‘Langkah Sheraton’ anggotai Kabinet Muhyiddin

Sembilan daripada 11 bekas Ahli Parlimen PKR yang telah keluar dari parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dilantik menganggotai Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menduduki tempat teratas ialah bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Menteri Kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Azmin merangkap Ahli Parlimen Gombak sebelum ini merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Beliau dianggap mengetuai Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Zuraida yang telah dipecat PKR pada 24 Februari lalu bersekali dengan Azmin adalah Ahli Parlimen Ampang.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota pula dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Untuk rekod, Saifuddin antara pemimpin tertinggi PKR yang menghadiri mesyuarat tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya bersama Azmin, Zuraida dan seorang lagi Ahli MPP, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada 23 Februari lalu.

Berikut enam lagi bekas pemimpin PKR kem Azmin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN):

1. Timbalan Menteri Menteri Luar Negeri – Datuk Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak)

2. Timbalan Menteri Menteri Wilayah Persekutuan – Datuk Seri Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat)

3. Timbalan Menteri Menteri Pengajian Tinggi – Datuk Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal)

4. Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli – Ali Anak Biju (Ahli Parlimen Saratok)

5. Timbalan Menteri Dalam Negeri II – Jonathan Yassin (Ahli Parlimen Ranau)

6. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II – Willie anak Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo)