Sembilan calon Pas ‘saudara sekapal’ BN dipapar akhbar milik Umno

Muka depan akhbar Harian Metro hari ini mendedahkan senarai sembilan calon Pas yang lebih setahun lalu sekapal dengan pemimpin BN dalam pelayaran misi Food Flotilla For Myanmar (FFFM).

Menggunakan tajuk ‘Calon Flotilla’, wajah kesemua pemimpin Pas terbabit yang dianggap ‘saudara sekapal’ terpampang bersama tiga calon BN yang turut menyertai misi bantuan kepada pelarian Rohingya itu.

Tujuh daripada sembilan calon Pas yang menaiki kapal Nautical Aliya pada Februari 2017 itu akan bertanding di negeri-negeri pantai Barat dengan paling ramai di Kedah diikuti Selangor.

Daripada sembilan calon Pas itu, empat daripadanya akan bertanding di kerusi Parlimen.

Sehari sebelum penamaan calon, akhbar pro BN siar senarai 9 calon Pas sekapal dengan BN.

Berikut senarai lengkap pemimpin Pas yang sekapal dengan BN itu seperti disiar Harian Metro:

1. Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Salleh – Parlimen Sungai Buloh.
2. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor – Parlimen Besut.
3. Ketua Dewan Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi – Dun Batu Burok.
4. Exco Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary – Parlimen Pengkalan Chepa.
5. Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Norazman Ishak – Dun Penanti.
6. Ketua Dewan Muslimat Pas Kedah, Datuk Siti Aishah Ghazali – Dun Merbau Pulas.
7. Penyelaras Mapim Kedah, Zulkifli Che Haron – Dun Kota Damansara.
8. Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Ahmad Tarmizi Sulaiman – Parlimen Sik.
9. Pengarah Pas Relief, Muhammad Sanusi Md Noor – Dun Jeneri.

Mereka dilaporkan menyertai misi selama 23 hari ke Myanmar dan Bangladesh itu bersama tiga pemimpin BN yang kemudiannya menjadi calon bagi PRU-14 ini diketuai Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mempertahankan Parlimen Baling.

Dua lagi, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir bertanding di Parlimen Kulim Bandar Baharu dan Bendahari Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Mutalif Rahim di Dun Taman Medan.

Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Tabung Haji itu dipetik berkata, persaudaraan sesama Islam itu dianggap sebagai rahmat walaupun berbeza fahaman politik.

“FFFM menyatukan kami dan tidak mustahil kami boleh bekerjasama walaupun masing-masing ada baju politik sendiri,” katanya lagi.

8.4
OVERALL SCORE
: 8.0
7 user votes x 8.4
CATEGORIES
TAGS