Malaysia Dateline

Sembilan laporan polis dari Lembah Pantai gesa siasat kartel daging

Sebanyak sembilan laporan polis dibuat pagi tadi melibatkan AMANAH, PKR dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Lembah Pantai, Kuala Lumpur berhubung isu kartel import daging sejuk beku.

Ahli Parlimennya, Fahmi Fadzil berkata, siri laporan polis itu bagi menggesa polis menyiasat dalang dalam kartel terbabit seperti yang didedahkan media baru-baru ini.

“Kami minta pihak polis siasat untuk pastikan dalang kepada kartel yang mengimport daging dicopkan halal ini dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Wakil rakyat PKR itu berkata demikian dalam sidang media di perkarangan Balai Polis Pantai hari ini.

Fahmi Fadzil

Menurutnya, dakwaan wujudnya kartel import daging sejuk beku itu memberi kesan terhadap persepsi rakyat termasuk mencalar integriti terhadap mutu pensijilan hahal yang dikeluarkan oleh JAKIM.

“Insiden ini juga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam berkenaan status halal daging di pasaran.

“Dalam masa sama, menimbulkan persepsi buruk terhadap agensi yang berkaitan tetapi bersekongkol dengan kartel,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi berharap kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) mendedahkan nama syarikat pembekal daging import terbabit kepada umum.

“Kita menunggu senarai nama terbabit. Saya rasa perlu lebih pantas (umum) untuk mengelak kekeliruan dan persepsi negatif terhadap syarikat-syarikat yang tidak terlibat.

“Ada kewajaran menteri berkenaan mendedahkan nama-nama syarikat terbabit agar rakyat Malaysia boleh berhenti membeli daging tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihak kementerian berkaitan juga perlu mengumumkan rampasan terhadap daging keluaran syarikat tersebut sekiranya ada rampasan dilakukan.