Malaysia Dateline

Sembilan orang mengundi awal esok

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia memaklumkan seramai sembilan orang pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.176 Kimanis, akan mengundi pada esok, 14 Januari 2020.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata pengundi awal merupakan sembilan orang anggota polis yang akan mengundi di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut.
Beliau berkata, Pusat Pengundian Awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang telah dilantik oleh SPR.
“Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR.
“Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Beaufort dan pengiraannya akan dibuat pada Hari Pengundian pada 18 Januari 2020 di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Daerah Beaufort,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SPR turut berharap agar para pengundi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka untuk mengundi.