Malaysia Dateline

Sembilan pelajar Sarawak dari luar negara positif Covid-19

Seramai sembilan daripada 94 pelajar Sarawak yang balik dari luar negara setakat ini disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan di negeri ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, mengikut laporan, lebih kurang 94 pelajar negeri ini dari Amerika Syarikat, United Kingdom (UK), Indonesia dan Singapura baru sahaja balik di Sarawak setakat ini.

“Namun, tiga pelajar berasal dari Miri telah disahkan positif dan enam lagi yang balik dari Indonesia turut positif,”kata JPBN dalam satu kenyataan.

Untuk itu, JPBN akan mengambil langkah lebih ketat dengan mewajibkan pelajar yang balik dari luar negara untuk menjalani kuarantin serta memastikan masa yang diperlukan untuk tempoh kuarantin adalah mencukupi.

“Ini kerana sekiranya kita terlepas walaupun seorang (yang dijangkiti Covid-19), kesannya sangat dahsyat sehingga melibatkan nyawa satu komuniti,” ujarnya kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pelajar dari luar negara yang telah menjalani kuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) harus menjalani ujian lain setelah kembali ke Sarawak dan akan diasingkan di hotel yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

Manakala bagi pelajar yang belum dikuarantin setelah balik dari luar negara atau negeri, mereka dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.