Sembilan penerima dianugerahkan geran keusahawanan sosial MAGIC bernilai RM150,000

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Keusahawanan Sosial (SE) Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) hari ini menganugerahkan geran bernilai RM150,000 masing-masing kepada sembilan penerima pada majlis Anugerah Amplify 2015.

Penerima berkenaan ialah The Truly Loving Company Sdn Bhd, Lembah Bujang Ecopark, Butik Batik TBB, Heart Treasures Sdn Bhd, Tanoti Sdn Bhd, Dialogue in the Dark Sdn Bhd, MangoChilli, Biji Biji Design Sdn Bhd dan ANB Agro Trainers.

Pengarah Eksekutif SE MaGIC, Ehon Chan, berkata sembilan penerima itu dipilih daripada 31 permohonan yang dihantar tahun ini, dan geran tersebut akan berperanan sebagai platform untuk mereka meningkatkan daya usaha sosial masing-masing.

“Pada 2014, kami membiayai lima penerima daya usaha sosial yang kemudian merekod pencapaian yang membanggakan, dan daripada RM500,000 yang kita laburkan, pendapatan tahunan sebanyak RM3.4 juta dapat dicapai.

“Ini bermakna, bagi setiap RM1 yang kami labur, penerima daya usaha sosial itu memperoleh pulangan sebanyak RM7,” katanya semasa berucap pada majlis Anugerah Amplify 2015 di sini, Khamis malam.

Penerima tahun ini merupakan gambaran baik kepada fokus SE MaGIC terhadap aktiviti sosial-ekonomi, pertanian, pemerkasaan wanita, pembangunan ekonomi kumpulan yang kurang berkemampuan, penambahbaikan dan pemeliharaan sumber semula jadi serta golongan kurang upaya.

Geran itu disampaikan oleh Pengerusi MaGIC, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Anugerah Amplify mengiktiraf syarikat berpotensi yang menangani cabaran sosial dan alam sekitar mendesak di Malaysia, dan mewujudkan kesan sosial positif yang besar melalui daya usaha sosial masing-masing.

Keusahawanan sosial ialah model keusahawanan yang tidak hanya mementingkan keuntungan, malah menekankan kepada pewujudan masyarakat yang berimpak positif dan saksama. Walaupun masih baharu, namun ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan belia.

CATEGORIES
TAGS