Sembilan soalan MP Pakatan Harapan  mengenai 1MDB tidak ‘lekat’ di Parlimen

Sembilan soalan MP Pakatan Harapan mengenai 1MDB tidak ‘lekat’ di Parlimen

Penggal Keenam Majlis Parlimen yang ke-13 hari ini menyaksikan sekurang-kurangnya sembilan soalan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak.

Mohamed Hanipa Maidin

Ahli Parlimen Sepang,Mohamed Hanipa Maidin memberitahu, empat daripada lima Pertanyaan Jawab Lisan daripadanya yang ditolak berhubung dengan skandal mega syarikat pelaburan negara sarat hutang itu.

Soalan-soalan tersebut ditujukan kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Razak serta kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, keempat-empat soalan tersebut ditolak mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat Nombor 23, antaranya dengan alasan, pertanyaan yang dibangkitkan sedang dalam proses mahkamah.

Empat soalan mengenai syarikat milik Kementerian Kewangan itu adalah seperti berikut:

1. Minta Menteri Kewangan menyatakan senarai secara terperinci hutang-hutang jangka pendek dan jangka panjang yang wajib dibayar oleh sama ada 1MDB sendiri atau pihak kerajaan kerana menjadi penjamin kepada hutang-hutang tersebut.

2. Minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak polis untuk mengesan dan membawa balik Low Taek Jho Low ke negara ini untuk disoal siasat.

3. Minta Perdana Menteri menyatakan:

a) adakah Perdana Menteri bercadang untuk memohon menjadi pencelah (intervener) di dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh YB Marang ke atas Sarawak Report (SR) di mahkamah di London dalam keadaan nama Perdana Menteri disebut secara spesifik dalam pernyataan pembelaan yang difailkan oleh SR dan pihak kerajaan telah menghantar wakilnya hadir ke mahkamah di hari pengurusan kes di mahkamah, dan

b) adakah kerajaan sedar tindakan pihak polis menyiasat Datuk Ambiga hanya kerana nama beliau disebut dalam pernyataan pembelaan SR adalah satu bentuk intimidasi ke atas seorang ‘potential dan material witness’, sekali gus boleh menganggu proses perbicaraan di London itu.

Antara salah satu soalan Hanipa Maidin yang tidak lekat di Parlimen.

4. Minta Menteri Kewangan menyatakan mengapakah dengan tiba-tiba pendirian kerajaan atau 1MDB bertukar dengan persetujuan untuk membayar kepada IPIC sedangkan sebelum penyelesaian prosiding timbangtara di Mahkamah London Timbangtara Antarabangsa itu, Timbalan Menteri Kewangan Kedua pada 1 Ogos 2016 telah dilaporkan berkata yang 1MDB akan melawan dan tidak akan membayar tuntutan IPIC (International Petroleum Investment Company) dan anak syarikatnya, Aabar Investment PJS sebanyak US$6.5 bilion di London itu.

Selain itu, pertanyaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat menuntut harta-harta yang telah disita oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) yang dilaporkan bernilai lebih daripada RM14 bilion turut ditolak.

“Saya diberitahu oleh YB Petaling Jaya Utara (Tony Pua), 4 soalan beliau juga ditolak,” dipetik daripada Facebook Hanipa hari ini.

Hanipa yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) AMANAH berkata, Speaker akan mengkaji semula alasan penolakan isu pembayaran 1MDB kepada anak syarikat IPIC itu.

“MO1 (Malaysian Official 1) dalam Invest Malaysia kata 1MDB memang ada masalah. Betullah tu. Soalan tentang 1MDB memang ada masalah nak ‘lekat’ di Parlimen,” tulisnya lagi.

Untuk rekod, Najib dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Parlimen pada 30 Mac 2017 memberitahu 1MDB telah membayar kesemua hutangnya pada tahun 2015 dan 2016 berjumlah kira-kira RM3.84 bilion.

Sehubungan itu, Najib, sehingga jawapan bertulis tersebut diedar, memberitahu 1MDB tidak lagi mempunyai sebarang hutang bank atau hutang jangka masa pendek.

Siasatan lanjut berhubung penyelewengan dana 1MDB sebelum ini dilapor sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mendapat arahan daripada Peguam Negara pada 24 Oktober 2017.

Walaupun banyak negara lain membuat siasatan tentang salah guna dana 1MDB tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menutup siasatan tersebut seperti disahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim pada November tahun lalu.

Pihak polis menyiasat 1MDB mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah pecah amanah dan Seksyen 420 kanun sama kerana menipu.

Sebelum ini, siasatan kes 1MDB dilakukan pihak Bank Negara Malaysia, PDRM dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang terdiri daripada sembilan anggota parlimen BN dan lima dari pembangkang.

Bagaimanapun, laporan PAC yang dibentang di Parlimen pada 7 April 2017 menyatakan Najib tidak terlibat secara langsung dalam isu 1MDB sekali gus tidak pernah melakukan sebarang salah laku.

Laporan itu juga menyifatkan 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terlalu bergantung kepada penggunaan hutang.

7.0
OVERALL SCORE
5 user votes x 8.4
CATEGORIES