Datuk Seri Najib Razak dipersoal apa yang dilakukannya sepanjang menjadi Perdana Menteri selama sembilan tahun bermula tahun 2009 apabila dia menekankan perlunya Malaysia kembali kepada landasan pembangunan bagi mengelak ketinggalan berbanding negara-negara jiran.
Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berpendapat pelaksanaan Projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Lembah Klang adalah penerusan dan perluasan projek yang bermula pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.
“Soalnya, selama sembilan tahun dia jadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, adakah dia buat macam apa yang dia sarankan sekarang?
“Idea original Najib adalah ambil alih TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu) daripada kerajaan Terengganu dan tukar jadi 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang akhirnya rakyat jelata tanggung hutang lebih RM50 bilion. Baki pada akhir tahun 2021 RM38.8 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri itu berkata, prestasi ekonomi pada zaman Najib sebagai Perdana Menteri boleh dibandingkan dengan sejak Almarhum Tunku Abdul Rahman untuk lebih jelas.
“Kita boleh jangka yang Najib, pentadbir media sosial dan pecacai dia akan kata, zaman dia, Malaysia sudah masuk fasa negara maju. Lagi maju, lagi perlahanlah pertumbuhan ekonomi.
“Dalam sembilan tahun Najib memerintah mulai 2009, Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menurut perangkaan Bank Dunia, berkembang pada kadar purata 4.7 peratus setahun berbanding 5.5 peratus untuk sembilan tahun sebelum itu.
“Bandingkan pula dengan zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman 6.5 peratus, Abdul Razak Hussein 7.7 peratus, Hussein Onn 8.6 peratus, Dr Mahathir Mohamad 6.3 peratus dan Abdullah Ahmad Badawi 5.8 peratus,” jelasnya.
Abdul Kadir turut berkata, ekonomi Malaysia hanya berupaya tumbuh purata 1.7 peratus setahun sepanjang 2018 hingga 2021 dengan segala masalah global dan dalam negara.
“Memandangkan pertumbuhan ekonomi kita yang jatuh secara berterusan sejak dua dekad yang lalu, kita memerlukan lebih daripada Najib untuk menjadi guru ekonomi.
“Selama sembilan tahun menerajui negara dia gagal menarik Malaysia keluar daripada kebekuan tersebut.
“Kita memerlukan kerajaan yang sah, cekap dan bersih yang dibantu oleh pakar-pakar ekonomi tulen,” katanya lagi.
Untuk rekod, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mencipta rekod sebagai satu-satunya Perdana Menteri yang diperkatakan banyak pihak sebagai kleptokrat bahkan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Dua tahun lalu, dia didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Baca juga Kerajaan kena bayar hutang 1MDB, pakar ekonomi sangkal kenyataan Najib