Malaysia Dateline

Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar elak pendekatan beri ‘panadol’

Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar pada 5 Disember ini bertujuan mencari kaedah dan pendekatan baharu yang bukan bersifat memberi ‘panadol’.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, seminar yang bakal menyaksikan pembentangan 16 kertas kajian itu dalam usaha untuk mengkaji masalah itu secara menyeluruh.

“Kita mengharapkan dapat mengumpulkan idea yang akan menghasilkan satu kaedah baru yang menyeluruh untuk mengatasi segala aspek masalah kemiskinan bandar.

“Kita akui, usaha meringankan beban penduduk bandar dibuat oleh pelbagai pihak dan agensi, yang mana semua usaha ini amat dihargai.

“Tetapi ia boleh dikatakan kebanyakan daripadanya adalah seperti usaha memberikan ‘panadol’ untuk atasi ’kesakitan’ tetapi tidak menyelesaikan masalah itu secara tuntas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri, Perbadanan Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Salam Malaysia, Datuk Ahmad A Talib.

Sehubungan itu, Khalid memberitahu pembentangan kertas kajian tersebut membabitkan empat sektor iaitu kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), akademik dan sosio ekonomi.

“Seminar ini akan mengumpulkan pelbagai pihak termasuk NGO, agensi kerajaan, pakar ekonomi, ahli akademik dan pengkaji dari universiti untuk sama-sama mengetengahkan idea masing-masing,” ujarnya.

Berhubung tahap kemiskinan bandar di Wilayah Persekutuan, beliau berkata, terdapat 1,100 isi rumah dikategorikan miskin tegar dan 3,000 lagi dikategorikan miskin daripada kira-kira dua juta penduduk.

“Kemiskinan bandar sudah wujud lama dan ia bukan masalah baharu. Ia juga boleh dilihat dalam pelbagai bentuk yang mana di beberapa tempat masalah setinggan masih wujud.

“Sudah tiba masanya perkara ini dikaji dengan lebih menyeluruh dan mendalam,” ujarnya lagi.

Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar merupakan anjuran Yayasan Salam Malaysia dan Yayasan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan.