Malaysia Dateline

Seminar UPSR percuma, pembakar semangat murid sekitar Wilayah Persekutuan

Seminar Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 yang dianjurkan secara percuma oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), menjadi pembakar semangat kepada 1,200 murid di sekitar Wilayah Persekutuan.

Pengerusi YWP, Khalid Abd Samad berkata, pihaknya mengharapkan murid yang terpilih mengikuti seminar itu akan bersemangat untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR tahun ini.

Beliau berkata, apabila mempunyai sekumpulan murid (yang terpilih untuk seminar) di sesebuah sekolah, mereka berupaya menyuntik aura positif kepada rakan-rakan yang lain.

“Murid dipilih adalah yang berpotensi mencapai keputusan cemerlang dan juga yang datang daripada golongan keluarga B40.

“Kita harap murid-murid itu mengambil serius soal pelajaran dan pendidikan, kerana ia akan menjadi medium kepada mereka untuk memperbaiki kedudukan ekonomi keluarga masing-masing.

“Pemilihan murid dibuat oleh pihak sekolah dan juga jabatan pendidikan,” katanya ketika ditemui pemberita, di Sekolah Rendah Presint 11 (1), Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merasmikan Seminar Kecemerlangan UPSR Tahun 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan di sekolah berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YWP, Zaizalnizam Zainun.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, pihaknya menampung kos sebanyak RM200,000 untuk menjayakan seminar di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan berkenaan.

“Untuk seminar UPSR di Putrajaya, setakat yang kita rancang hanya satu seminar iaitu yang sekarang ini.

“Tetapi kalau ada permintaan daripada pihak jabatan pendidikan dan guru-guru, permintaan itu kita boleh pertimbangkan.

“Buat masa sekarang, kami cuma merancangan setiap wilayah, satu seminar iaitu masing-masing di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” kata Pengarah Komunikasi AMANAH itu.

Objektif utama seminar ini adalah untuk, memberi pendedahan tentang teknik dan tips menjawab soalan UPSR kepada murid tahun 6 yang dipilih oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) ketiga-tiga Wilayah merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Calon-calon UPSR itu datangnya dari 14 sekolah rendah sekitar Putrajaya, 40 sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur dan 16 sekolah rendah sekitar Labuan.

Seramai1200 murid calon UPSR yg terpilih dri 70 sekolah rendah disekitar Putrajaya, KL dan Labuan