Program vaksinasi secara terus atau ‘walk-in’ di Lembah Klang akan dihentikan selepas 15 September ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Bagaimanapun, katanya, penduduk di wilayah itu yang masih belum divaksinasi boleh mendapatkan suntikan di klinik kesihatan tertentu yang akan diumumkan bermula 16 September.
“Saya ingin mengumumkan bahawa program vaksinasi secara ‘walk-in’ di Lembah Klang akan dihentikan terus selepas 15 September ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mendapati kadar penduduk di Lembah Klang yang masih belum divaksinasi adalah amat kecil manakala kadar kehadiran rendah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Dalam masa sama, Dr Adham memberitahu proses vaksinasi secara terus di negeri-negeri lain masih diteruskan.
Jelasnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkenaan PPV terbabit menerusi Jabatan Kesihatan negeri masing-masing.
Menurutnya, jumlah peratusan populasi dewasa yang lengkap imunisasi di Malaysia ketika ini adalah hampir 70 peratus.