Malaysia Dateline

‘Semoga Agong nasihati PM letak jawatan’

Sudah menjadi rutin Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengadap Yang di-Pertuan Agong setiap pagi Rabu sebelum mesyuarat jemaah menteri.

Namun, pertemuan pagi ini terus dinantikan banyak pihak ekoran penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen Umno kepada Mahiaddin.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi antaranya berharap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menasihati Mahiaddin meletak jawatan.

“Pagi ini PM akan mengadap Yang di-Pertuan Agong. Itu amalan setiap pagi Rabu sebelum mesyuarat Kabinet.

“Semoga Yang di-Pertuan Agong akan menasihati Perdana Menteri meletak jawatan. Semalam, kita tahu majoriti kerajaan hari ini tinggal 100 sahaja,” kata Puad pada hantaran di Facebook pagi ini.

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu mengulangi penegasannya sebelum ini bahawa Mahiaddin sudah tidak lagi mempunyai keabsahan sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, Perdana Menteri ‘caretaker’ atau Interim perlu dilantik untuk membentuk kerajaan baharu.

“Secara automatik kerajaan (Perikatan Nasional) ini sudah tumbang. Mana boleh memerintah apabila majoriti tinggal 100 (kerusi). Semuanya tidak sah.

“Mahiaddin mesti letak jawatan dan Perdana Menteri ‘caretaker’ dilantik untuk enam hingga 12 bulan,” ujar bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu lagi.

Semalam, Puad mendakwa dua lagi Ahli Parlimen Umno akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri menjadikan Mahiaddin berbaki hanya 98 sokongan ahli Dewan Rakyat.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Agong boleh membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri atau kerajaan ‘caretaker’.

Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, terpulang kepada Agong untuk membuat keputusan dan beliau akan akur kepada keputusan jika Seri Paduka Baginda memilih dari kalangan kerajaan minoriti.

Kerajaan PN diterajui Mahiaddin pada masa ini hanya mempunyai 100 kerusi Parlimen manakala seramai 120 anggota Dewan Rakyat lagi mendukung pembangkang.

Sesebuah parti atau gabungan perlu mempunyai sekurang-kurangnya sokongan 112 Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.