Malaysia Dateline

Semoga perdamaian ini hadiah hari Kemerdekaan

Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa rombongan ke Kedah, rakyat risau arah tuju kerajaan ini. Apakah meneruskan kesilapan lama?

Tetapi kelmarin, rakyat lega apabila PM dan pemimpin Pakatan Harapan  bertemu. Ini pertemuan yang menjanjikan permulaan masa depan. Inilah sebenarnya politik matang dan sejahtera.

Kenapa matang dan sejahtera? Tiga sebab. Pertama, menyejukkan suhu politiking negara.

Kedua, mengukuhkan kerajaan kerana tiada lagi politik ugutan. Ketiga, menghentikan politik nombor dan beralih kepada politik yang berorienstasikan polisi.

Apa untuk rakyat?

Selepas pertemuan kelmarin, dikeluarkan kenyataan bahawa persetujuan dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif, memastikan kebebasan kehakiman, melaksanakan reformasi institusi dan tatakelola kerajaan.

Kenyataan ini tidak jelas dan mengundang pertanyaan? Apakah persetujuan ini adalah dalam bentuk CSA? Jika CSA, apa TORnya?

Sejauh manakah ia menguntungkan rakyat? Apakah tuntutan doktor kontrak yang PH lantang suarakan di Parlimen adalah sebahagian daripada persefahaman ini?

Bagaimana dengan moratorium, pekerjaan, isu kemiskinan dan lain-lain bantuan untuk rakyat? Ini memerlukan perincian segera kerana rakyat sudah lama susah dan tidak bekerja.

Bagaimana pula dengan langkah mengatasi Covid-19?

Bilakah Jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah bekalan vaksin dan yang berkaitan dengannya. Urus tadbir hal ini memerlukan kesegeraan. Ia adalah soal ‘urgency’.

Apapun pandangan balas di atas, rakyat teruja dengan pertemuan pemimpin mereka kelmarin. Begitupun, mereka bertanya, apa untungnya mereka?

Semoga rakyat akan mendapat Hadiah Hari Merdeka.