Sempat batal penerbangan keluar Turkiye, jasad bekas pemain Chelsea ditemukan di bawah runtuhan

Oleh KIM SYAZIE

Christian Atsu dijadualkan untuk terbang keluar Turkiye beberapa jam sebelum terperangkap dalam fenomena gempa bumi di negara itu.

Namun begitu, bekas pemain Chelsea itu membatalkan perjalanannya pada saat akhir walaupun sudah membeli tiket penerbangan.

Perkara itu didedahkan oleh pengurus pentadbiran kelab terakhirnya di Turkiye iaitu Hatayspor, Fatih Ilek yang menggambarkannya sebagai takdir.

Fatih berkata, tiket penerbangan buat Atsu sudahpun dibeli untuk terbang keluar negara dengan rancangan untuk mencari kelab baharu.

Pada akhirnya dia mengubah fikiran untuk tetap berkhidmat buat kelab itu selepas berjaya memberikan persembahan cemerlang dalam perlawanan terakhirnya.

Kurang dari 24 jam sebelum runtuhan berlaku, Atsu berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan itu seterusnya menjadikan kelabnya sebagai pemenang.

“Ini adalah takdirnya. Dia mempunyai tiket untuk keluar. Namun selepas menjaringkan gol, dia mengubah fikirannya untuk pergi.

“Dia terperangkap dalam gempa bumi pada hari paling yang paling menggembirakan baginya. Ini betul-betul tragedi,” kata Fatih.

Selain Chelsea, pemain yang berasal dari Ghana itu pernah berkhidmat dalam kelab gergasi lain seperti Newcastle United dan Everton.

Mendiang yang berusia 31 tahun itu meninggalkan seorang balu, Marie-Claire Rupio, dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Baca juga:Pilih kain kafan untuk mas kahwin, wanita sanggup tolak tawaran kereta