Malaysia Dateline

Subky Abdul Latif 1

Sempat merasa air tangan Raja Permaisuri Agong, Subky Latif meninggal dunia hari ini

Subky dalam mesyuarat Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) di pejabat pengarang Harakah di ibu negara pada 2010.

Bekas veteran Pas, Subky Latif dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 11.00 pagi sebentar tadi, beritahu lima anaknya dalam satu hantaran di Facebook.

Subky yang bakal genap berusia 80 tahun pada 28 Julai depan merupakan penulis pojok Mens Sana in Corpore Sano dalam akhbar Harakah dan penulis ruangan tetap bagi portal Harakahdaily.

“Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat, orang-orang soleh. Amin,” kata mereka.

Pada 19 Jun lalu, bekas wartawan kanan itu dibenarkan discaj dari Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC).

Subky ketika discaj dari IIUMMC empat hari lalu.

Sebelum itu, penulis buku siri memoir kewartawanan Anak Apak (2011) dan Propagandis Zaman (2012) memberitahu menerima sumbangan makanan yang dimasak oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Beliau yang mesra membahasakan dirinya sebagai “Apak” memberitahu tidak selera makan sehari sebelum itu iaitu pada 13 Jun lalu.

“Hari ini (14 Jun) Apak terima hadiah air tangan masakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

“Rezeki Apak, sebaik dimaklum pada Tuanku yang Apak tiada selera makan semalam, terus Tuanku titah akan masak juadah khusus untuk Apak,” dipetik dari Facebook Subky Abdul Latif.

Anak Subky, Dang Fatiha (kanan) menerima makanan yang dimasak Raja Permaisuri Agong daripada wakil istana pada 14 Jun lalu.
Subky dalam perancangan untuk menyiapkan jilid ketiga siri memoir kewartawanan berjudul Politik Itu Manis.