Sempatkah RUU 355 dibentang?

Sempatkah RUU 355 dibentang?

Hanya tersenarai pada perkara ketujuh dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini. Itu kedudukan usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, empat RUU lain melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan berada di kedudukan ketiga hingga keenam dalam senarai tersebut.

Usul-usul yang akan melalui bacaan kedua dan ketiga adalah RUU Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016; RUU Kebankrapan (Pindaan) 2016; RUU Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016; dan RUU Setem (Pindaan) 2016.

Untuk rekod, tempoh sidang Dewan Rakyat penggal kelima kali ini yang bermula semalam akan berlangsung sehingga 6 April ini.

Notis usul Hadi berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 Akta 355 bagi menggantikan perkataan, “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali”.

Ungkapan tersebut disyor pinda kepada “penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah”.

Bagaimanapun, kerajaan dilihat tidak serius dengan pembentangan RUU 355 ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir berucap pada himpunan anjuran Pas menuntut pindaan akta itu pada 18 Februari lalu.

Dalam hal berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengakui wujud kesilapan teknikal yang dikatakan tidak disengajakan apabila tular versi asal usul Hadi pada Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen sebelum ini.

Versi tersebut tanpa sebarang pindaan yang dibuat Abdul Hadi pada 24 November tahun lalu sebelum sekali lagi Presiden Pas itu memohon pembentangannya ditangguhkan.

Sikap bertangguh Pas itu juga sekaligus dinilai banyak pihak sebagai tidak bersungguh-sungguh dengan tuntutan pindaan Akta 355 berkenaan.

Sebaliknya, ia mengundang polemik berpanjangan selain menyebabkan persengketaan dalam kalangan masyarakat sesama Islam mahupun dengan bukan Islam.

Tarik tali Abdul Hadi berhubung RUU 355 kemudiannya menyaksikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan agung partinya, 1 Disember tahun lalu memberitahu kerajaan akan mengambil alih usul itu kerana merupakan usul persendirian yang akan dikaji pihak kerajaan.

TAGS