Malaysia Dateline

Sempena Debat Ketua AMK malam ini: Beri laluan kepada pemimpin muda dalam badan eksekutif parti

Atas sebab-sebab tertentu saya tidak tertarik dengan PKR. Mungkin sebab utamanya kerana kecenderungan saya lebih kepada politik berbasiskan Islam.

Namun, saya suka dengan kedinamikan PKR. Antaranya, mereka mampu seimbangkan antara tokoh-tokoh Melayu dan bukan Melayu, tua dan muda. Dan yang terkini, jawatan ketua AMK dipertandingkan dengan menampilkan dua orang calon yang betul-betul muda.

Kedua-duanya saya agak biasa, lebih-lebih lagi dengan Fahmi Zainol. Fahmi pernah terlibat aktif dengan tanzim gerakan pelajar Islam, dan kami bertamrin dan “jadi ahli” sekali semasa di kampus. Adam Adli pula saya kenal semasa rajin mengikuti program-program gerakan mahasiswa peringkat nasional sepanjang menjadi anak usrah Safwan Anang.

Fahmi Zainol tua setahun dari saya. Adam Adli pula tua tiga tahun dari saya. Masing-masing sekarang berumur 31 dan 33 tahun. Itulah umur yang diangkat oleh PKR dan AMK untuk memimpin sayap pemuda parti.

Pencalonan dua calon berumur awal 30-an untuk memimpin sayap pemuda parti menunjukkan, pertama, kesediaan PKR untuk meremajakan parti dengan menonjolkan muka-muka yang lebih muda ke barisan kepimpinan parti.

PKR terbuka untuk memberi laluan kepada mereka yang betul-betul muda.

Kedua, ia menggambarkan sikap PKR yang terbuka untuk memberi laluan kepada mereka yang betul-betul muda, bukan semata-mata “orang muda” tetapi berada di penghujung usia muda.

Ketiga, ia mengisyaratkan sayap pemuda parti mempunyai ramai pelapis sehingga boleh memilih pemimpin yang kompeten+betul-betul muda.

Proksi

PKR tidak mempunyai proksi di kampus-kampus seluruh Malaysia. Mungkin ada di beberapa kampus sahaja. Berbeza dengan Pas misalnya yang mempunyai proksinya di hampir setiap kampus. Dalam erti kata lain, Pas lebih kaya sumber manusianya berbanding PKR.

Walau bagaimanapun, dalam bercakap mengenai kepimpinan muda, PKR nampaknya lebih terkehadapan berbanding Pas.

Jika dilihat pada tiga pemimpin tertinggi Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) yang terkini, pemimpinnya adalah berumur sekitar 39-41 tahun; umur yang agak penghujung untuk usia pemuda.

Pemimpin-pemimpin muda tidak menjanjikan sesebuah parti itu hebat. Namun, ia menggambarkan parti itu terbuka kepada perubahan dan tidak terikat dengan status quo.

Pas mempunyai limpahan kader yang selepas tamat belajar, mereka memang memilih untuk terlibat dengan parti. Kader-kader ini perlu dimanfaatkan dan dikenal pasti potensinya.

Jawatan-jawatan kanan dalam sayap pemuda parti perlu diisi oleh tokoh-tokoh yang muda tetapi kompeten, bukan diisi berdasarkan sentimen senioriti semata-mata.

Proses meremajakan parti tidak boleh semata-mata berlaku pada sayap pemudanya. Sebaliknya, perubahan secara struktural terhadap kepimpinan peringkat pusat juga perlu dilakukan.

Parti perlu berani untuk memberi laluan kepada pemimpin muda yang berkelayakan untuk berada dalam badan eksekutif parti, termasuklah ke jawatan naib presiden, bukan semata-mata di lapisan kedua atau ketiga sayap pemuda parti.

Jiwa dan semangat kepemudaan mereka boleh diharmonikan dengan pemimpin-pemimpin lain yang lebih senior dan berumur.

PKR yang tidak ada sistem perkaderan yang tersusun pun mampu menampilkan pemimpin yang betul-betul muda dan segar. Pas yang mempunyai sistem perkaderan yang tersusun dan kaya dengan sumber manusia muda perlu lebih terbuka dan berani untuk memberi laluan kepada mereka yang lebih muda.

Diharapkan dalam pemilihan Pas tahun depan (2023) akan menampilkan calon-calon yang lebih segar dan muda untuk jawatan-jawatan dalam DPPM.

Antara Fahmi Zainol dan Adam Adli, saya tidak ada kepentingan untuk menyokong siapa. Untuk debat malam ini, Adam adalah pendebat yang lebih baik berbanding Fahmi.

Namun, kelebihan Fahmi adalah pada pengalaman lebih lima tahun berada di lapangan politik berbanding Adam yang amat baru dalam politik. Kedua-duanya ada kekuatan masing-masing.

Baca Adam Adli bertanding calon Ketua AMK

Baca Pelajar 16 tahun langgar pemotong rumput sehingga maut, ibu bapa dipanggil polis