Malaysia Dateline

Sempena Hari Anti Dadah, IKRAM anjur forum khas pagi ini

Sempena Hari Anti Dadah Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 26 Jun hari ini, Ikram Malaysia menganjurkan forum bertajuk ‘Putuskan Rantaian Dadah, Apa Jalan Penyelesaian?’ dalam siri Bicara Bina Negara (BBN) IKRAM pada pagi ini bagi mengajak masyarakat bersama merenung kembali isu gejala dadah ini.

Ahli-ahli panel terdiri daripada Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom dari Yayasan Ikram Malaysia, Dato’ Seri Ayub Yaakob dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Dr Naziran Sadiron dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dengan saudara Mohd Hafiz Abdul Hamid sebagai moderator.

“Semua anggota masyarakat dijemput untuk bersama mendengar forum tersebut di di laman Facebook Pertubuhan IKRAM Malaysia dan saluran YouTube TV IKRAM,” kata Prof Madya Ainullotfi Abdul Latif, Ketua Pasukan Petugas Agenda Nasional Masyarakat Progresif merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan IKRAM Malaysia dalam satu kenyataannya pagi ini.

Menurut Ikram, bagi setiap 254 penduduk Malaysia, ada satu penagih dadah di negara ini.

“Nisbah 1 orang penagih bagi setiap 254 orang penduduk di Malaysia, adalah satu kenyataan yang amat membimbangkan,” kata beliau.

Fakta ini dilaporkan oleh laman sesawang rasmi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), di mana pada tahun 2020 sahaja terdapat seramai 128,325 penyalah guna dadah di negara kita.

Apa yang lebih membimbangkan adalah daripada jumlah keseluruhan itu, data penglibatan remaja yang masih muda berumur 13 hingga 18 tahun adalah seramai 2,556 orang.

Manakala golongan belia (18-39 tahun), tunggak penting dalam pembangunan negara, mencatat kategori yang terbesar iaitu seramai 83,401 orang, katanya.

Pada tahun 2019, dadah yang bernilai RM2.7 bilion iaitu sebanyak 20 tan dan 9,047 liter telah berjaya dirampas oleh pihak berkuasa (menurut laporan statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM.

Statistik menunjukkan terdapat peningkatan berbanding pada tahun 2018 sebesar 8.9 tan dan 37,298 liter dadah yang bernilai RM394.23 juta.

“Oleh itu, sempena dengan tema Hari Anti Dadah Antarabangsa tahunan pada 26 Jun ini iaitu ‘Sebarkan Fakta Dadah, Selamatkan Nyawa,’ Pertubuhan IKRAM Malaysia ingin menyeru rakyat Malaysia agar sama-sama berusaha dan berganding bahu untuk memerangi musuh ini agar impian Dadah Terkawal 2025 akan menjadi realiti,” katanya.