Sempena Hari Wartawan Nasional 29 Mei: Pakai baju sekolah, tunggu bas bongkar sisi gelap penjara

Oleh SYAHRIL A. KADIR

Profesion wartawan ini unik. Anda boleh baca 1,001 kisah dalam akhbar dan televisyen, tetapi jarang sangat anda kenal kami yang menulis berita atau sesuatu artikel itu.

Kalau ada pun cuma beberapa orang. Itu pun wartawan penyiaran sebab mereka keluar dalam TV. Selebihnya memang anda tak kenal. Paling kuat pun anda rasa macam pernah dengar nama wartawan tersebut. Itu sahaja.

Tetapi memang itulah tugas kami. Kami tidak perlu glamor pun, yang penting cerita kami dibaca orang. Cuma pada zaman media sosial ini ramailah wartawan yang berkongsi kisah suka-duka dan pengalaman mereka. Jadi, sedikit sebanyak anda kenallah seorang dua.

Bagi kami, siapa kami itu tidak penting tetapi yang paling penting pembaca dapat manfaat atau pengetahuan daripada sesuatu subjek yang kami angkat.

Baik, kali ini saya nak berkongsi dengan anda kisah dan pengalaman seorang wartawan dalam menjalankan tugas mereka. Saya ambil inisiatif ini kerana kalau nak harap mereka tulis, haram takkan tulis punya.

Bukan sebab apa, tugas seorang wartawan ni tidak tentu masa. Adakalanya lewat malam baru balik rumah. Tidak cukup dengan tugasan harian mencari berita, acapkali mereka kena hasilkan rencana, analisis, mengendalikan kolum sendiri dan sebagainya. Dalam erti kata lain, manalah ada masa nak tulis kisah diri sendiri.

Lagi satu, apabila seharian kerja kau menaip saja, bila sampai rumah kau tengok laptop pun dah ‘tak lalu’. Saya ambil inisiatif ini kerana selain daripada salah satu tanda terima kasih kepada 70,000 pengikut saya sekarang, saya harap pengalaman ini dapat digunakan oleh adik-adik wartawan baru sebagai panduan dan motivasi untuk bekerja dengan cemerlang seperti akak-akak dan abang-abang senior mereka.

Baik. Untuk siri pertama ini, saya nak memperkenalkan kepada anda seorang wartawan jenayah dan penyiasatan hebat bernama Badrolhisham Bidin @ Bad.

Kenapa saya pilih Bad? Pertama, sebab saya tidak kenal rapat dengan dia. Ini penting, kalau rapat dengan dia, saya takut tulisan macam membodek pulak kaedahnya.

Langit dengan bumi

Bad ini dulunya adalah wartawan Malay Mail pada era 80-an dan kemudiannya bertugas sebagai editor di NSTP.

Saya mula mengenali Bad waktu bertugas sebagai wartawan jenayah dulu. Kami sering terserempak di lokasi rompakan dan pembunuhan. Kalau anda tengok orangnya, ‘halus dan comel’ sahaja.

Tapi kami tidak banyak berbual kerana pengalaman dia dengan saya bezanya macam langit dengan bumi. Jadi, saya memang letak hormatkan dia gila-gilalah walaupun Bad ini tak pernah meletakkan dirinya macam dewa yang perlu disembah kakinya.

Untuk pengetahuan anda, waktu dia jadi wartawan jenayah dulu, mana tempat dia tidak pernah redah. Dari rumah pelacuran, port penagih dadah, disko, namakan saja.

Kalau Bad dan rakan-rakannya buat siri laporan khas, pasti cuaklah pihak berkuasa terutama polis. Ada saja perkara yang mereka bongkar. Anugerah dan hadiah kewartawanan jangan ceritalah, mereka saja dapat.

Dengan tubuhnya yang kecil macam remaja sekolah itu, Bad akan menyamar jadi macam-macam. Antaranya, jadi pengemis minta sedekah.

Namun, yang paling menggegarkan negara apabila Bad dan rakan-rakannya berjaya menghasilkan sebuah laporan eksklusif tentang kisah seorang banduan bernama Abdullah Ang yang hidup mewah dalam Penjara Kajang.

Paling ‘tragis’, Bad berjaya mengesan Abdullah di Petaling Street sedang menguruskan perniagaan walaupun masih berstatus banduan!

Ceritanya begini. Ang adalah orang yang mendapat kepercayaan penuh daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ketika itu. Dr. Mahathir telah melantiknya sebagai Ketua Eksekutif Perbadanan Pelaburan Seberang Laut Malaysia (MOIC).

Pendedahan mengenai Ang menjadi “Banduan Istimewa” telah dibuat oleh Bad dan rakan-rakannya di Malay Mail pada 19 Ogos 1989. Hebat tak hebat Ang ni, dia boleh berulang alik dari Penjara Kajang ke Jalan Ipoh, Kuala Lumpur untuk minum teh tarik, membaca akhbar dan menguruskan perniagaannya.

Ang telah dihukum penjara lapan tahun dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Disember 1986 (diringankan kemudiannya atas rayuan) setelah dia mengaku salah atas tuduhan pecah amanah yang melibatkan RM 338,808.80.

Di Penjara Kajang, biliknya siap dilengkapi peti sejuk, karpet, perakam video dan tilam air khas (waterbed).

Kira-kira lagi dua hari sebelum dibebaskan dari penjara, kelibat Ang telah dilihat di pusat bandar KL! Ang ketika itu memakai kemeja-t dan seluar putih.

Sampai saja ke pengetahuan Malay Mail, editornya telah menghantar wartawan mereka antaranya Bad dan jurugambar untuk menjejaki Ang.

‘Skodeng’

Dalam laporan Malay Mail itu juga memperlihatkan bagaimana Abdullah dengan selamba berada di kilang pakaian keluarganya. Malah, tidak ada juga sebarang wadar atau pegawai penjara yang mengiringinya ketika itu.

Namun, ketika jurugambar Malay Mail sedang asyik sedang merakamkan kelibatnya, Ang terperasan dan terus menutup wajahnya dengan menggunakan sehelai tuala.

Apabila kes ini diajukan kepada pegawai penjara, mereka mendakwa Abdullah terlibat dalam sebuah sistem dimana ia merupakan persediaan pra-pembebasan iaitu banduan dibenarkan bekerja di luar untuk membiasakan diri mereka bila bebas kelak.

Yang pasti, disebabkan laporan Bad dan rakan-rakannya itulah, rombakan dalam penjara telah dibuat termasuk akhirnya jawatan tertinggi Ketua Pengarah Penjara telah diberi kepada pegawai kanan PDRM ketika itu!

Dan anda nak tahu tak macam mana Bad berjaya membongkarkan cerita ini, dia bantai pakai baju sekolah dan tunggu bas sambil ‘skodeng’ Ang balik rumah!

Kehebatan Bad dan rakan-rakannya menghasilkan berita ini sampai sekarang dianggap ‘expose of the century’! Serius, saya harap satu hari nanti Bad akan menulis memoirnya untuk tatapan kita semua.

Pada abang Bad, maaf kerana tulis hal ini tanpa pengetahuan abang, bukan apa, kalau saya tak tulis, jangan harap abang nak cerita. Steady anak Muor!