Malaysia Dateline

Sempena Krismas, tunaikan hak kanak-kanak, kata MP DAP

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berharap Malaysia dapat mencapai taraf sebagai sebuah negara yang adil dan tidak mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa.

Sempena perayaan Krismas yang disambut dalam suasana pandemik Covid-19, beliau menzahirkan harapan agar kerajaan dapat menunaikan hak kanak-kanak untuk mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan, kewarganegaraan dan perlindungan sewajarnya di bawah undang-undang.

Katanya, kerajaan perlu mengubah undang-undang sedia ada untuk menghalang perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

“Sebanyak 543 permohonan dan perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak direkodkan antara Januari hingga September tahun ini. Bagaimana dengan yang tidak direkodkan?

“Yang saya mahukan untuk Krismas adalah agar pelajar Malaysia diberi hak yang sama untuk pendidikan dan tidak dikategorikan mengikut etnik, agama atau kelas yang secara diskriminasi menyekat potensi mereka untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Yang saya mahukan untuk Krismas adalah agar Malaysia menyedari bahawa diskriminasi gender menyusahkan semua pihak dan adalah tanggungjawab bersama untuk mengakhiri diskriminasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kasthuri juga berharap agar petugas barisan hadapan, termasuk tukang cuci, pegawai bomba dan pegawai penguat kuasa diberi pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya atas kerja keras dan pengorbanan mereka.

Pada masa sama, beliau menekankan harapan agar Malaysia dapat melaksanakan pemberian gaji yang sama dan tidak berat sebelah antara lelaki dan wanita atas usaha keras mereka.