Sempena Syawal, leraikan pertikaian tamatkan permusuhan, seru Mahfuz

Sempena Syawal, leraikan pertikaian tamatkan permusuhan, seru Mahfuz

Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal yang mulia, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyeru masyarakat khususnya umat Islam supaya segera membina perpaduan dan silaturrahim dengan meleraikan pertikaian serta menamatkan permusuhan.

Kata beliau, semangat Aidilfirti yang mulia ini perlu terus dihidupkan dengan amalan mulia iaitu saling berkunjung dan bertanya khabar, mengeratkan silaturrahim, menyebarkan salam, mengadakan jamuan dan majlis rumah terbuka pada kadar kemampuan.

Doakan kebaikan kepada orang lain serta hulurkan sumbangan pada anak anak yatim dan fakir miskin, kata beliau.

Jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, seharusnya tidak ada yang memisahkan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia untuk kita bersatu dan berkasih sayang dalam membina Malaysia baharu.

Tambahnya, segala perbezaan pandangan, pendapat, kumpulan serta budaya, warna kulit, bahasa, daerah dan negeri sekadar melambangkan kelainan dan keunikan negara ini, namun terlalu banyak persamaan antara kita yang perlu kita hargai.

“Inilah waktunya kita membangunkan negara bersama-sama agar keharmonian dan kedamaian negara dapat dibentuk.

“Saya dan keluarga juga memohon maaf andai terkasar bahasa, terguris hati, tersalah tutur kata, dan terkhilaf kepada semua yang mengenali kami.

“Terima kasih atas nasihat, dorongan, semangat dan pandangan semua pihak bagi kebaikan kita bersama dunia dan akhirat,” kata beliau dalam perutusan Hari Raya Aidilfitrinya kelmarin.

CATEGORIES