Sempurnanya sebuah negara

Sempurnanya sebuah negara

ULASAN: Sebuah negara tidak terbentuk dalam sehari. Segala potensinya dikutip sepanjang laluan sejarahnya yang panjang sehinggalah ia dikenali sebagai bentuknya hari ini. Malaysia dalam perjalanannya, sempurna sebagai sebuah Negara Persekutuan yang merdeka dan berdaulat pada tanggal 16 September 1963. Enam tahun selepas kemerdekaannya.

Malaysia hanyalah permulaan untuk mendaki ke tahap yang lebih hebat agar bumi bertuah ini dapat berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan dunia luar sana yang mencabar. Tegaknya Malaysia itu sendiri adalah sebuah kekuatan yang dari awalnya mendambakan kesatuan dalam kepelbagaian.

Kepelbagaian adalah Malaysia dan Malaysia adalah kepelbagaian. Tiada kepelbagaian tiadalah Malaysia. Kepelbagaian adalah sesuatu yang menguji kerajaan dunia malah ada yang tersungkur kerana mengambil jalan mudah menyongsang kepelbagaian kononnya untuk menyatukan negara.

Malaysia tegas mempertahankan kepelbagaian etnik, kaum, budaya dan agama dan tidak berniat untuk mengambil jalan pintas menghapuskannya. Sementara kita berdebat tentang identiti bangsa Malaysia, jangan kita lupa pengasas-pengasas negara ini memilih pendekatan yang meletakkan kepelbagaian dalam bekas yang satu, dan bukan mencairkan kepelbagaian kepada satu.

Pendiri dan pengasas kita sudah masak berfikir sebelum kita berantak sesama kita kononnya negara ini milik satu-satu kaum sahaja ataupun kita masih bergelut untuk saling percaya mempercayai sesama kita.

Sabah dan Sarawak adalah cetusan kepada lahirnya Malaysia hari ini. Kedua negeri di kepulauan Borneo ini amat plural dalam kelompok etniknya dan telah menghirup kenikmatan kepelbagaian sebagai cara hidup mereka sejak sekian lama.

Ia satu cabaran kepada kita. Walau sudah 62 tahun merdeka masih berdebat tentang Malaysia ini milik siapa? Kita masih memperjuangkan kelompok tertentu kononnya ditindas oleh kaum tertentu dan lebih membimbangkan ialah apabila agama dijadikan alat untuk memudaratkan kepelbagaian ini. Hari ini, kita masih memandang sesama kita dari mata ego kaum yang tidak berkesudahan.

Sempurnanya sebuah negara bernama Malaysia membuka sebuah lagi jalan yang panjang dalam fasa Malaysia Baru demi membina teras kemakmuran ekonomi, kesepaduan sosial dan kesejahteraan untuk semua. Cabarannya ialah bagaimana berhadapan dengan naratif perkauman dan agama sempit yang masih dibibir sesetengah kita atas nama menjaga kepentingan masing-masing. Bukankah kepentingan kita adalah negara kita!

Sampai bilakah naratif bangsa Malaysia yang satu mampu menguasai keadaan jikalau prejudis masih menjadi jambatan hubungan sesama kita dan bibit kebencian atas nama agama mendominasi hubungan rentas kaum di negara ini?

Kerana kepelbagaian adalah cara hidup rakyat Malaysia, kita memerlukan jambatan keharmonian yang terbina atas saling percaya sesama kita, dan saling berkasih sayang sesama insan. Jalan yang diturap adalah perasaan Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat (R.A.H.M.A.H) sesama kita.

Kita mahukan Malaysia yang bersatu padu dan kukuh bagi menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) agar semua rakyat diagih hasil tuaiannya demi melonjakkan negara kembali mengaum sebagai Harimau Asia yang disegani.

Kita tidak boleh berkompromi kepada sesiapa yang merosakkan kepelbagaian kononnya atas nama perpaduan. Kepelbagaian sebenarnya adalah dorongan kepada lahirnya sebuah perpaduan melalui dasar hidup berharmoni yang dipacu oleh ajaran agama khususnya Islam yang merupakan agama Persekutuan.

Teras kerahmatan untuk semua (Rahmatan Lil Alamin) adalah benang yang mengikat kepelbagaian ini, yang menjamin semuanya berada pada tempatnya dengan penuh keamanan. Inilah cabaran yang telah kita pilih untuk memelihara amanah negara.

Malaysia menjadi lebih mudah jika ia tidak mengambil jalan kepelbagaian namun hakikatnya pilihan kita sebenarnya adalah yang tepat dan hikmah terbesar buat rakyat. Malaysia menjadi model terbaik dunia dalam kesungguhannya bertahan dengan model kepelbagaian dan mengekalkan keamanan dan keharmonian. Ia kejayaan yang perlu dipertahankan. Biar kita mati untuk membelanya.

Musuh kita adalah mereka yang cuba menafikan kepelbagaian apabila mereka menanam virus kebencian kaum dan agama kononnya demi sebuah perjuangan. Perjuangan apakah yang mendorong kepada kebencian dan permusuhan? Apakah kita mahu membiarkan hancur segala yang terbina selama ini hanya untuk memenuhi sebuah ‘perjuangan’?

Perjuangan kita semua adalah untuk mempertahankan kepelbagaian ini dengan menyediakan satu bekas agar semua dapat bertenang di dalamnya. Bekas itu adalah Malaysia dan kepelbagaian itu adalah kita.

Peliharalah Malaysia dan pertahankanlah kepelbagaian kita, lambat laun negara ini akan bangkit jua menjadi sebuah negara yang disegani kawan dan lawan. Sehingga itu, teruslah kita merangkul kepelbagaian atas bahtera yang menjaminkan keamanan bersama.

*Penulis adalah Naib Presiden AMANAH