Semua 13 calon Amanah anak Sarawak, kata Salahuddin

Semua 13 calon Amanah anak Sarawak, kata Salahuddin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kesemua 13 calon parti Amanah Negara (Amanah) yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak merupakan anak kelahiran negeri itu.

Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, selain calon Bumiputera, Amanah turut menampilkan calon Iban dan juga Cina.

Pengisytaharan calon akan dibuat pada minggu hadapan.

“Semua calon telah dikenal pasti, tunggu nak umum sahaja. Semua 13 calon yang Amanah pilih adalah orang tempatan, anak kelahiran Sarawak.

“Calon-calon akan diumumkan minggu depan,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Minggu lalu, Amanah memutuskan untuk meletakkan 13 calon selepas berbincang dengan Pakatan Harapan.

“Memang sudah diputuskan dalam mesyuarat Amanah dan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan jadi tidak timbul soal Amanah akan bertembung denagn DAP atau PKR,” katanya.

Menurut beliau juga, keputusan meletakkan 13 calon di Sarawak dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor penting dan mengambil semangat Amanah sebagai parti baharu.

“13 daripada 82 kerusi id Sarawak bagi Amanah adalah suatu jumlah yang sangat munasabah sebagai permulaaan untuk Amanah membuat suatu permulaan dalam konteks pilihan raya Sarawak.

“Amanah yakin 13 kerusi yang kita tandingi mampu untuk menyemarakkan penyertaan Amanah untuk mendapat sokongan kemenangan daripada rakyat Sarawak,” katanya lagi.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu menjadikan jumlah kerusi untuk DUN Sarawak meningkat daripada 71 kepada 82. Tiga daripada 11 kerusi yang ditambah terdiri daripada majoriti kaum Melayu/Melanau iaitu di Gedong, Kabong dan Telian manakala tiga kerusi didiami majoriti kaum Iban (Stakan, Selirik dan Samalaju).

Selain itu, dua kerusi majoriti Orang Ulu (Murum dan Long Lama), dua majoriti kaum Bidayuh (Serembu dan Triboh) serta baki satu kerusi lagi majoriti kaum Cina iaitu di Batu Kitang.

Keputusan PRN ke-10 pada 2011 menyaksikan BN menyapu 77 peratus kerusi iaitu menang 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan.

Manakala bagi pencapaian parti pembangkang, DAP menguasai 12 daripada 15 kerusi Dun ditandinginya; PKR hanya menang tiga daripada 49 kerusi iaitu Batu Lintang, Ba’Kelalan dan Krian manakala Pas kalah di semua lima kerusi yang ditandingi.

TAGS