Malaysia Dateline

Semua Adun Pulau Pinang sepakat salur 30 peratus gaji untuk Tabung Covid-19

Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang termasuk pembangkang telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka ke Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

Inisiatif ini merupakan kesepakatan yang telah dipersetujui dengan harapan segala usaha kerajaan negeri yang diketuai oleh Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow bagi membendung penularan wabak Covid 19 dapat diatasi.

Kelmarin Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang juga telah memutuskan untuk menyumbang sebulan gaji beliau ke Tabung Covid-19 Pulau Pinang sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan negeri mengatasi penularan wabak covid -19 di negeri ini.

Sejajar dengan itu sehingga kini, sebanyak 370,000 penutup muka dan 230,000 sarung tangan telah pun diedarkan kepada anggota barisan hadapan daripada pelbagai agensi serta Adun-Adun.

Malah kerajaan negeri Pulau Pinang telah pun melaksanakan pelbagai sokongan dan bantuan melalui pelbagai agensi bagi memastikan golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 dapat meneruskan kehidupan mereka khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pencegahan (PKP).