Malaysia Dateline

Semua akan isytihar harta termasuk pembangkang, kata PM

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan Undang-undang untuk mewajibkan setiap wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta masing-masing akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

Menurutnya, setiap wakil rakyat termasuk pembangkang mempunyai pengaruh yang tersendiri, sekali gus perlu dihindari daripada menggunakan kedudukan untuk mendapatkan habuan.

“Sepatutnya semua akan isytihar harta mereka, kerana parti pembangkang pun ada pengaruh.

“Jadi kita tidak harus guna pengaruh kita untuk dapatkan bayaran. Kita akan bawa (usul ke Parlimen).

“Sama ada lulus atau tidak lulus itu soal lain,” katanya lagi kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan ruang pameran Marvel Studios di pusat beli-belah Pavilion di Kuala Lumpur hari ini.

Sidang Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 akan berlangsung dari 1 Julai hingga 18 Julai nanti.