Malaysia Dateline

Sila keluar jika tidak suda Umno kata Annuar Musa kepada pengkritik parti Melayu itu

Semua bekas Ahli Parlimen, Adun Umno keluar parti akan disaman, kata Annuar

Semua bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang meninggalkan parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), akan menerima notis saman dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya akan menghantar senarai penuh nama mereka kepada firma guaman dilantik parti itu hari ini.
“semua Adun dan ahli Parlimen yang meninggalkan parti bakal mendapat notis saman.

“Semuanya ada kira-kira 30 orang, 20 di Sabah dan 10 lagi dari Semenanjung. Ada beberapa di Johor, Kedah dan Perak, tidak ada yang terkecuali.

“Satu firma peguam sudah dilantik dan saya akan menulis surat kepada mereka esok (hari ini) dengan memberikan senarai nama penuh semua ahli Parlimen dan ADUN yang melompat keluar untuk didakwa oleh Umno,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Rabu.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan sebuah portal bahawa Umno memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan saman terhadap bekas ahli Parlimen dan ADUN yang meninggalkan parti itu selepas PRU-14.

Laporan itu mendakwa, keputusan berkenaan diputuskan kerana Umno enggan menanggung kos perundangan yang tinggi, selain mahu fokus kepada pengukuhan parti.

Sebelum ini, media melaporkan dua bekas Ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, sudah diberikan writ saman.