Serapat mana sekalipun kita dengan mentua ketahuilah ada masa mereka akan lebih memilih darah daging sendiri.
Sudahlah menjadi balu, dapat tahu pula mentua layan kita bagai orang luar sedangkan sebelum ini dialah merayu untuk duduk bersama.
Seorang wanita, Sutera (bukan nama sebenar) tidak menyangka kehilangan suami akhirnya bongkar sikap sebenar keluarga mentua.
Di bawah adalah perkongsian tersebut.
Saya Sutera, berumur akhir 40-an, seorang guru dan mempunyai empat orang anak yang alhamdulillah sihat dan bijak.
Saya tinggal bersama-sama mentua disebabkan suami anak lelaki tunggal.
Suami telah menyatakan hasratnya sebelum kami bernikah, maka saya kenal-kenal dengan mentua dan serasi.
Adik beradik suami yang lain semuanya perempuan dan masing-masing berkerjaya professional dan berjaya namun tinggal sedikit jauh dari mertua.
Suami saya juga alhamdulillah berkerjaya baik dengan gaji yang selesa. Mentua saya kedua-duanya dari keturunan yang baik, beragama dan sebelumnya berkerja dalam bidang professional.
Masing-masing sudah pencen dengan total RM8k sebulan. Saya tinggal bersama-sama suami, mertua dan anak-anak di rumah pusaka mentua.
Disebabkan kami agak ramai, saya dan suami bersetuju membuat personal loan (60% suami, 40% saya) untuk renovate rumah mentua.
Kami bercadang nak menambah bilik-bilik baru buat anak-anak disebabkan ibu mentuaku telah menghibahkan rumah tersebut kepada suamiku.
Kedua-dua mentua tahu akan pinjaman peribadi tersebut malah berterima kasih kerana saya sudi membantu meringankan bebanan kewangan suami.
Anak-anak perempuan ibu mentuaku dihibahkan bahagian tanah di kampung yang agak luas.
Alhamdulillah semuanya baik dan happy. Ramai kenalan saya cemburu dengan keakraban mentua dan saya kerana saya dilayan seperti anaknya sendiri.
Adik-adik ipar juga sangat baik dengan saya dan anak-anak. Kesimpulannya, saya tidak kekok tinggal bersama-sama mentua.
Semua berubah bila suami meninggal
Namun semuanya tidak indah apabila suami saya meninggal secara tiba-tiba. Mentua maklum jangan risau kerana dia akan menjaga saya dan anak-anak.
Ya, saya bersyukur kerana ada yang menerima saya walaupun menantu. Ibu mentuaku juga bercerita kepada orang yang hadir, dia akan menjaga saya dan anak-anak.
Ramai memuji tindakan ibu mentuaku. Saya terharu dan memikirkan nak-anak sangat rapat dengan ibu mertuaku berbanding ibuku sendiri, saya setuju.
Mungkin asbab kebaikan mentua, salah seorang anak perempuannya dapat bertukar ke negeri kami. Mereka sekeluarga menyewa di taman berhampiran kampung.
Namun atas kekangan masa, anak-anak iparku dihantar ke rumah ibu mentuaku. Saya okay.
Setelah beberapa bulan suamiku tiada, rumah yang kami renovate telah pun siap sepenuhnya.
Rumah lama yang diberi nafas baru. Personal loan hanya tinggal beberapa tahun yang perlu dibayar.
Dek kerana suamiku sangat menjaga perihal kewangan kami, saya dan anak-anak mendapat keseluruhan hibah simpanan suami.
Graduati suami, saya berikan sebahagian kepada ibu dan saya selesaikan personal loan kami berdua.
Alhamdulillah, saya kurang bebanan hutang kecuali kereta saya yang juga tinggal beberapa tahun untuk diselesaikan.
Urusan faraid alhamdulillah mudah. Ibu juga mendapat bahagiannya. Perkara yang tidak disangka berlaku.
Adik ipar mula duduk sekali
Adik iparku sedikit sebanyak mula tidur dan tinggal di rumah mentuaku. Bilik anak-anak saya terpaksa berkongsi.
Tiba-tiba suatu hari ibu memanggilku dan meminta supaya saya berpindah bilik dan berkongsi bersama anak perempuan saya disebabkan bilik kelamin saya agak besar.
Alasan diberikan supaya senang anak perempuannya tidur bila balik selalu. Katanya sebab bilik tamu terlalu kecil untuk mereka berdua.
Saya tak mampu berkata apa-apa kerana memikirkan kami hanya menumpang walaupun hakikatnya hampir keseluruhan perabut telah saya tukarkan dengan yang baru dan cantik di bilik saya.
Semakin lama, adik iparku menyatakan hasrat untuk tinggal di rumah mentuaku. Alasan untuk menemani mereka yang semakin menginjak usia.
Adik ipar minta pindah
Dia meminta saya berpindah ke tempat lain. Dia berkata apa akan jadi sekiranya saya berkahwin semula? Secara tiba-tiba.
Ya, saya terduduk dan tergamam memikirkan saya dan suami tidak pernah membeli sebuah rumah asbab ingin tinggal di situ.
Banyak duit telah dilaburkan di situ. Saya bersyukur tidak meneruskan niat suami untuk membuat renovation dalaman.
Ibu mentua bersetuju dengan adik iparku. Alasan yang sama digunakan, apa akan jadi sekiranya saya berkahwin semula?
Alasan seterusnya adalah kerana saya berkerja dan masih berpendapatan tetap serta ada pencen suami, jadi saya mampu untuk membawa diri saya dan anak-anak.
Anggaplah rumah ini hadiah dan kenangan suami buat ibu dan adik-adiknya. Saya terdiam dan menangis. Sungguh saya disisihkan setelah banyak saya berhabis untuk rumah tersebut.
Ibu mentua menyatakan bahawa tanah rumah tersebut atas namanya maka dia ingin memberikan kepada anak perempuannya.
Saya diam untuk beberapa lama. Namun saya sedar dan mula menguruskan urusan perpindahan rumah dan sekolah anak-anak saya.
Alhamdulillah, saya mendapat pertukaran dengan mudah. Semua urusan anak-anak juga dipermudahkan.
Ya, itulah kisah husnuzon saya. Walaupun tinggal sedikit jauh, saya masih membawa anak-anak berjumpa nenek mereka.
Namun layanan sangat berlainan berbanding ketika suami masih ada.
Betul kata mertua, saya tak perlukan wang ringgit, tapi layanlah anak-anak saya yang juga sebahagian suami saya iaitu cucu mereka sendiri.
Mereka sekeluarga sangat bimbang sekiranya saya menuntut ‘hak dan janji’ anak-anak saya.
Tidak mereka nyatakan secara nyata, namun saya faham setiap kali saya pulang melawat mereka.
Ya, saya bersyukur asbab saya berkerja, mampu menyara keempat-empat anak saya. Saya bersyukur suami hibahkan hampir kesemua simpanannya kepada saya dan anak-anak.
Bagus bersangka baik, tapi ingatlah, kita menantu hanyalah orang luar.
Kesilapan saya adalah, saya tidak menyemak hitam putih hibahan rumah tersebut. Rupanya hanya hibah di mulut. Tapi apalah hak saya untuk berkata apa-apa.
Baca juga: Amar Asyraf tak akan berlakon lagi, serik dibayangi serba salah kerana bersentuhan pelakon wanita