“Semua bil aku bayar, hari tu pergi bercuti dengan keluarga dia pun guna duit aku, senang betul jadi suami”

Oleh MAISARAH AISYA

Seharusnya sudah menjadi tanggungjawab suami untuk bayar keperluan keluarga dan jika isteri bekerja sekalipun, ia untuk mudahkan urusan bukan tanggung sepenuhnya.

Siapa sahaja tidak marah jika suami bergantung sepenuhnya kepada gaji isteri dan hanya bantu sekali sekala.

Seorang wanita meluah rasa kecewa apabila suami terlalu bergantung kepada gajinya hingga dia merasakan tiada guna berkahwin melalui Facebook ‘Kisah Rumah Tangga’.

“Aku dan suami dua-dua bekerja. Aku cikgu manakala suami kerja di kilang swasta. Gaji kami berdua lebih kurang sama sebab aku pun masih baru membina kerjaya.

Suami aku akan beri aku RM700 sebulan untuk bayar sewa rumah RM400, bil api air RM100, kutu dia RM200. Bil lain seperti coway, netflix dan lain-lain aku bayar.

Masalah di sini, suami aku akan beli barang dapur tidak melebihi RM150 sebulan. Aku akan masakkan bekal setiap hari untuk suami aku pergi kerja.

Petang dia balik kerja pun aku masakkan juga. Jadi kos barang dapur sebulan hampir RM400 bermakna aku tanggung kos barang dapur RM250 sebulan.

Tu belum masuk makan di luar lagi aku yang kena bayar. Aku ada kereta jadi setiap kali keluar kami akan naik kereta aku.

Tentulah minyak kereta dan tol pun aku bayar sendiri walaupun balik ke kampung dia.

Bayarkan makan dan homestay keluarga suami

Baru-baru ni kami bercuti dengan keluarga dia, yang geramnya aku juga kena bayar makan satu family dan bayar homestay. Aku jadi tak ikhlas min.

Mula-mula aku fikir sedekah tapi lama-lama aku mula sakit hati dengan suami aku. Aku rasa dipergunakan sepenuhnya oleh dia.

Dah lah kalau tak cukup duit hujung bulan akan minta dengan aku juga. Dia ada tempat untuk bergantung harap manakala aku tak ada tempat untuk bergantung.

Harapkan diri sendiri sahaja. Aku rasa aku dah tak perlukan suami aku. Adakah aku patut bercerai saja.

Hampir 99 peratus perabot dan barangan elektrik dalam rumah ni adalah duit aku. Aku rasa nak halau je dia min.

Dah la deposit rumah sewa pun duit aku. Dia bayar sewa bulanan je. Aku muda lagi, jadi kurang ilmu rumah tangga ni.”

Baca juga: “Bukannya aku yang tentukan jantina anak, tapi bapa mentua tak habis perli sebab tak dapat cucu lelaki”