Malaysia Dateline

Semua gabungan politik ada parti majoriti Cina

Memang sudah dijangka isu perkauman akan mendominasi kempen pilihan raya umum ke-15 kali ini yang menyaksikan pertandingan 3 penjuru atau lebih.

Tiga gabungan politik yang menonjol dalam persaingan merebut mandat pemerintahan negara khususnya di Semenanjung adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Memang amat mengecewakan apabila sentimen perkauman masih mendasari politik negara setelah lebih 60 tahun merdeka. Tapi itulah realiti yang berlaku apabila kita dibelenggu soal perkauman dan ada pihak yang meraih laba politik dari situasi ini.

Antara isu yang diketengahkan adalah kemungkinan PH dikuasai DAP jika diberi mandat memerintah negara. Malah DAP yang diyakini mampu meraih sokongan 80 peratus pengundi Cina dimomokkan bakal mengancam dominasi politik Bumiputera khususnya bangsa Melayu.

Realitinya dalam konteks politik Malaysia, tiada parti yang mampu membentuk kerajaan tanpa dokongan parti-parti lain. Sehubungan itu kita lihat gabungan politik lain turut dianggotai parti dominan Cina iaitu MCA bagi BN dan Gerakan bagi PN.

Boleh dikatakan hampir kesemua kerusi yang ditandingi DAP turut ditandingi calon Gerakan (PN) dan calon MCA (BN). Jika kerusi itu tidak dimenangi DAP, ia akan dimenangi MCA atau Gerakan. Mengambil kira majoriti calon Gerakan adalah Cina dan kesemua calon MCA berbangsa Tionghoa, mengapa pula DAP yang turut menampilkan calon-calon Melayu dan India boleh dianggap menggugat kuasa politik Melayu?

Sekitar 60 kerusi yang ditandingi DAP juga jauh lebih kecil daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen dan 112 majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Jika ada kerisauan tentang kemungkinan DAP meraih lebih 80 peratus kerusi majoriti Cina, ianya akan lenyap jika para pengundi memilih calon-calon Melayu yang mewakili PH pada PRU kali ini. Ia sekaligus dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan kredibel tidak seperti apa yang berlaku sebelum ini.

Oleh itu amatlah dangkal hujah yang mendakwa kononnya kuasa politik Melayu akan terhakis dengan kemenangan mana-mana parti politik bukan Melayu apatah lagi Melayu Bumiputera masih menjadi majoriti di kebanyakan kerusi pilihan raya.

Isu yang patut diberi perhatian pengundi pada PRU kali ini adalah memerangi rasuah dan mewujudkan kerajaan yang bersih, kredibel dan mengutamakan kesejahteraan hidup rakyat.

Tinggalkanlah sentimen perkauman menebal kerana ia tidak membawa apa-apa manfaat kepada masa depan negara.