Semua institusi pendidikan di Pasir Gudang ditutup esok

Semua institusi pendidikan di Pasir Gudang ditutup esok

Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengumumkan semua institusi pendidikan di Pasir Gudang, ditutup bermula esok hingga 27 Jun untuk kerja-kerja mengatasi pencemaran di daerah itu.

Perkembangan ini selepas pelajar di 8 buah sekolah dipercayai turut mengalami muntah-muntah dan sesak nafas.

Penutupan itu melibatkan 111 sekolah rendah dan menengah, 3 institusi pendidikan tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa, dan 347 tadika swasta.

 “Semua pengetua dan guru besar dipohon untuk memaklumkan segera kepada semua murid, guru dan ibu bapa serta kakitangan dalam kawalan mereka dan mengambil tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal mengumumkan punca pencemaran yang melanda Pasir Gudang sejak 5 hari lepas akan diketahui dalam sehari dua lagi.

Katanya lagi, 30 kilang kimia di daerah itu telah disenarai pendek untuk siasatan, bagi mengenalpasti sama ada bahan kimia yang diproses di kilang-kilang itu punca kepada pencemaran terbaru itu.

Bekas menteri besar, Khaled Nordin bagaimanapun membidas kerajaan negeri, mengatakan ia tidak mengambil pengajaran daripada insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

“Kerajaan negeri sebelum ini ada meyakinkan orang awam bahawa mereka akan melihat perkara seperti ini secara serius. Akan ada prosedur dan garis amalan yang diperkemas,” katanya.