Semua jawatan dalam Umno disaran supaya dipertandingkan

 

Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Ketua Pemuda Umno Kedah.

Selepas kejatuhan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 baru-baru ini pelbagai polemik melanda parti tersebut.

Bermula dengan meninggalkan parti setelah menang dan berada bersama Pakatan Harapan (PH), tidak kurang juga ramai yang telah melepaskan jawatan dalam Umno Bahagian dan mengambil keputusan untuk berihat panjang.

Kini suara-suara dari pimpinan Pemuda Umno telah mulai kedengaran apabila mereka mahukan semua jawatan dipertandingkan dan bukannya hanya jawatan tertentu sahaja.

Ketua Pemuda Umno Negeri Perlis, Syed Atief Syed Abu Bakar menyuarakan sekiranya tidak mahu diadakan pertandingan pada pemilihan parti, maka ia haruslah melibatkan semua peringkat dan bukannya hanya jawatan tertentu sahaja.

“Biarlah dari peringkat atas sehinggalah ke peringkat bawahan, tidak perlu dipertandingkan.

“Dalam sistem demokrasi yang menjadi amalan, sokongan yang diterima perlu diukur serta mesti bersedia untuk dinilai selepas tempoh tertentu.

“Tanpa pertandingan, kita tidak dapat mengukur setakat mana sokongan terhadap kepimpinan yang sedang dilakari,” ujarnya.

Syed Atief Syed Abu Bakar, Ketua Pemuda Umno Perlis.

Manakala Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin pula berpandangan, semua jawatan dalam pemilihan Umno yang akan datang haruslah dipertandingkan bagi semua peringkat.

“Ahli Umno harus berani melakukan perubahan untuk membina semula parti selepas rakyat menolaknya dalam PRU14 baru-baru ini.

“Umno perlu mulakan proses pemulihan dengan menempatkan pimpinan yang betul pada kedudukan yang sepatutnya.

“Pemuda Umno Kedah juga mahu perubahan bukan sahaja diperingkat kepimpinan tertinggi, tetapi juga termasuk di peringkat Umno Bahagian,” jelasnya lagi.

Malah kata Shaiful lagi, Ketua Umno Bahagian yang terlalu lama memegang jawatan sepatutnya memberi laluan kepada muka baru.

Baru-baru ini Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menolak cadangan tidak dipertandingkan jawatan tertentu dalam Umno.

Manakala Umno Melaka turut mencadangkan tiga jawatan tertinggi parti tersebut iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan satu daripada jawatan Naib Presiden tidak dipertandingkan.