Semua jemaah haji Malaysia selamat dalam kejadian ribut di Arafah

Semua jemaah haji Malaysia selamat dalam kejadian ribut di Arafah

Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan bahawa semua jemaah haji Malaysia selamat dalam kejadian ribut di sini yang berlaku pada 6.30 petang hingga 8.00 malam waktu Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata kekukuhan struktur binaan rangka khemah yang dibuat oleh kerajaan Arab Saudi menjadi antara penyebab kepada ketiadaan kemalangan jiwa yang melibatkan jemaah Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata semasa kejadian ribut dan hujan itu, pihak bomba Arab Saudi telah mengarahkan bekalan elektrik ditutup bagi menjaga keselamatan para jemaah haji yang berada di Arafah.

“Pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan di setiap maktab dan terdapat beberapa khemah jemaah haji Malaysia mengalami kerosakan dan kini dalam proses baik pulih oleh pihak Muassasah Asia Tenggara,” katanya

Semua jemaah haji Malaysia dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan bekalan elektrik disambung semula secara berperingkat mulai pukul 10.45 malam.

“Waris dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan jemaah haji Malaysia yang kini berada di Arafah,” katanya.

Keadaan ribut yang melanda padang Arafah seperti dirakamkan oleh petugas haji Malaysia.

Saksi petugas haji

Dalam perkembangan sama Astroawani melaporkan Menjelang Hari Arafah dan ibadah wukuf di Mekah, sebilangan besar jemaah haji pada petang Ahad diuji kejadian ribut pasir, yang jarang-jarang berlaku pada musim panas.

Ribut melanda penempatan jemaah haji di Arafah yang sedang bersiap sedia untuk melaksanakan wukuf, yang bermula apabila masuk waktu Zohor pada 9 Zulhijjah (Selasa) dan berakhir apabila terbit fajar hari ke-10 Zulhijjah .

Seorang petugas haji Malaysia, Maslina Alias, menerusi laporannya di akaun Facebook dan Instagram Stories berkata, angin kencang itu mengakibatkan kerosakan kecil terhadap khemah jemaah.

Ia turut menyebabkan bekalan elektrik terganggu di seluruh kawasan perkhemahan jemaah di Arafah.

Maslina berkata, ia bermula ketika matahari mulai terbenam kira-kira jam 6.30 petang, dalam keadaan jemaah haji tiada persediaan serta tidak menyangka kawasan itu akan dilanda ribut.

CATEGORIES