Semua kakitangan tetap SPAD tidak akan hilang jawatan, jamin Menteri Pengangkutan

Semua operasi SPAD berjalan seperti biasa walaupun badan itu dimansuhkan, kata Menteri Pengangkutan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi jaminan, tiada seorang pun kakitangan tetap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dimansuhkan akan kehilangan jawatan.

Loke dalam satu kenyataannya berkata, segala operasi SPAD juga akan berjalan seperti biasa.

“Menyentuh isu pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seperti pengumuman YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 23 Mei 2018, saya ingin memberi jaminan bahawa tiada seorang kakitangan tetap SPAD akan kehilangan jawatan mereka.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa segala operasi SPAD akan berjalan seperti biasa, namun kini ianya diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan.

“Sebarang maklumat terkini berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam minggu pertama sebagai Menteri Pengangkutan, beliau telah melakukan beberapa siri lawatan kerja ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi mendapatkan maklumat, mengadakan diskusi dan bertukar pandangan dalam usaha bagi memperkukuh sektor pengangkutan awam negara.

Katanya, beberapa pendekatan positif dan halatuju masa hadapan JPJ dan JKJR telah dapat mereka rumuskan hasil lawatan ini.

Antaranya termasuk implementasi sistem e-bidding bagi menjamin ketelusan dan integriti proses bida nombor pendaftaran kenderaan yang pada masa ini dijalankan secara tender manual.

Pendekatan ini, katanya, membolehkan capaian yang lebih luas kepada pengguna dan pemilik kenderaan berpeluang membida nombor kenderaan dari seluruh Malaysia dengan lebih mudah.

“Selain daripada itu, saya juga telah memberi jaminan bahawa selepas daripada ini, tiada lagi sebarang nombor pendaftaran kenderaan khas akan diberikan kepada mana-mana badan bukan kerajaan mahupun badan-badan kebajikan,” katanya.

Bagi mengatasi isu ketirisan dan penyalahgunaan mendapatkan lesen memandu, hala tuju JPJ kini adalah untuk mengambil pendekatan pengaplikasian automasi dalam semua peringkat proses ujian memandu.

Ini termasuk cadangan pemasangan ‘dashboard camera’ di dalam kereta-kereta ujian bagi memastikan ketelusan ujian tersebut.

“Dalam pada itu, saya juga telah meminta supaya semua Institut dan Sekolah Memandu untuk mempamerkan perincian setiap caj ujian yang dikenakan di dalam resit bagi mengelakkan kebarangkalian sebarang caj tersembunyi,” katanya.

Buat masa ini, harga siling yang ditetapkan oleh JPJ adalah RM350 bagi lesen B2 (Motosikal), RM1,150 bagi lesen D (Motokar – Manual) dan RM1,250 bagi lesen DA (Motokar –Auto).

Dalam perkembangan lain, isu keselamatan jalan raya merupakan satu permasalahan yang menjadi keutamaan beliau.

Melihat kepada statistik kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya adalah amat membimbangkan terutama di kalangan belia.

Justeru itu, JKJR akan menumpukan strategi promosi dan program advokasi kepada kumpulan ini terutamanya penunggang motosikal.

CATEGORIES
TAGS