Semua kaum ada sumbangan, boikot bukan ajaran Islam

Semua kaum ada sumbangan, boikot bukan ajaran Islam

Usaha memboikot berasaskan kaum sama sekali bukan dari ajaran Islam lebih-lebih lagi di negara ini semua kaum ada sumbangan masing-masing dalam kemajuan dan pembangunan negara.

Ketua Biro Kebajikan, Kemanusiaan dan Bencana Alam AWAN Nasional, Ustazah Mariam Ab Rashid berkata, Islam tidak memusuhi sesiapa atas nama kaum atau semata-mata individu tertentu melakukan kesalahan maka seluruh kaum dianggap musuh.

“Jangan gunakan agama untuk menyemarakkan kebencian terhadap sesuatu kaum.

“Di negara kita semua kaum termasuk Cina, India dan bangsa-bangsa lain terbukti mempunyai sumbangan masing-masing dalam pembangunan ekonomi dan keharmonian masyarakat.

“Ada yang jumpa saya minta beli sos yang orang Melayu Islam buat sahaja, jadi saya tanya balik, botol atau bekas diisi sos itu siapa yang buat? soal beliau.

Mengenai adanya individu-individu yang dikatakan membenci Islam atau menghina Islam, beliau berkata kita semua memang menentang walau dari kaum mana dia datang.

“Jangan kerana seorang buat jahat, satu kaum kita kerah untuk boikot, seolah-olah semua kaumnya menanggung kesalahan seorang individu.

“Kita kena ingat, bukan dari kaum lain, kaum kita pun ada individu yang jahat,” katanya.

Ustazah Mariam yang merasmikan Konvensyen AWAN Negeri Kelantan semalam turut menyentuh gerakerja Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRU15.

Menurutnya, PH bukan sahaja perlu mengekalkan kemenangan di negeri-negeri yang telah menang tetapi juga perlu merancang untuk menawan negeri-negeri yang belum menang.

“Buat road map untuk tawan Kelantan,” katanya.

Tentu ada katanya yang berpendapat perkara ini mustahil.

“Saya masih ingat keadaan di Selangor sebelum pilihan raya 2008, semasa itu dalam Pakatan Rakyat (PR), pihak Umno-BN mempersenda pihak pembangkang adalah mustahil untuk jatuhkan kerajaan.

“Khir Toyo sebagai MB Selangor ketika itu langsung tidak percaya kerajaannya akan jatuh,” katanya.

Menurutnya jika ada usaha bersungguh-sungguh dan Allah menetapkan sesuatu berlaku, ia tetap akan berlaku.

Pada konvensyen itu, Puan Norashidah Jaafar yang dikenali Mbak Eda dipilih sebagai ketua AWAN Negeri manakala Puan Normala Mohd Nadzar diletakkan di posisi timbalan.