Malaysia Dateline

Semua kena terima saranan Agong, bentuk Kerajaan Perpaduan, kata Pemuda Umno

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua parti politik perlu menerima baik titah saranan Yang Dipertuan Agong agar berkompromi membentuk kerajaan perpaduan.

Dalam tulisan di Facebook beliau sebaik sahaja selepas pertemuan pemimpin parti politik dengan Yang Di Pertuan Agong, Asyraf berkata, perkara itu perlu “demi menangani pandemik dan mengurus kesejahteraan rakyat, sekaligus menurunkan suhu politik dalam negara.”

“Moga semua parti-Parti politik dapat menerima baik titah saranan Yang di-Pertuan Agong agar berkompromi untuk secara bersama membentuk Kerajaan Perpaduan demi menangani Pandemik dan mengurus Kesejahteraan rakyat, sekaligus menurunkan suhu politik dalam negara,” tulis beliau di Facebooknya jam 4.30 tadi.

Hari ini semua pemimpin utama parti politik dipanggil oleh Yang Dipertuan Agong ke Istana Negara. Turut serta adalah Timbalan Yang Dipertuan Agong.

Antara pemimpin politik yang kelihatan masuk adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.