Semua kepimpinan dan aktivis parti politik dilarang beri ceramah di masjid, surau Terengganu – MAIDAM

Oleh KIM SYAZIE

Tidak mahu tempat suci disalahguna untuk tujuan politik, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melarang ahli politik daripada memberi ceramah di masjid dan surau di Terengganu.

Menerusi satu kenyataan media, Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail menegaskan bahawa dua tempat tersebut tidak boleh menjadi medan penyebaran agenda politik.

“Masjid dan surau tidak boleh sesekali disalahgunakan bagi tujuan-tujuan yang boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan serta perselisihan di kalangan masyarakat.

“Ia termasuk menggunakan masjid atau surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti atau program yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur-unsur politik kepartian,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, MAIDAM memandang serius akan perkara ini dan mengambil keputusan bersetuju untuk membuat ketetapan seperti berikut.

“Semua Ahli Yang berhormat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam negeri Terengganu.

“Semua Ahli Yang berhormat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai Khatib dan Imam solat Jumaat di Masjid.

“Semua kepimpinan dan aktivis parti politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam negeri Terengganu kecuali pemegang taullah mengajar atau dengan kebenaran MAIDAM,” tambahnya lagi.

Mana-mana program keagamaan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan yang diadakan di bangunan agensi atau di tempat awam perlu memastikan penceramah, pengkuliah atau ahli panel dalam atau luar negeri yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan daripada MAIDAM.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Penguatkuasaan Syariah Pejabat Agama Daerah dikehendaki membuat pemantauan atas arahan yang dikeluarkan supaya ianya dapat dipatuhi,” katanya.

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah juga menyeru supaya semua pihak dapat menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh MAIDAM dan JHEAT.

Baca juga: ’58 kali pergi kenduri kahwin’ dalam kad laporan MP Pas jadi bahan kritikan netizen