Malaysia Dateline

Semua ketua parti bakal menghadap Agong mulai 2 petang ini

Ketua-ketua parti utama dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, bermula jam 2 petang ini.

Mereka akan mempersembahkan nama-nama calon Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sebagai Perdana Menteri.

Untuk menjadi Perdana Menteri, sekurang-kurangnya sokongan majoriti mudah 111 daripada Ahli Parlimen diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Pada masa ini, Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi kerana dua kerusi lagi masih kosong berikutan kematian penyandangnya.

Selain Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, empat lagi pemimpin politik yang disebut-sebut sebagai bakal calon Perdana Menteri.

Mereka ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), Hishammuddin Hussein (Sembrong), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna).