Semua komponen Pakatan Harapan berkorban demi kemenangan rakyat

Semua komponen Pakatan Harapan berkorban demi kemenangan rakyat

 

Pengorbanan keempat-empat parti di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) memberi peluang tinggi buat blok pesaing BN itu untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berpendapat, kesediaan kesemua komponen parti dalam PH mengorbankan kepentingan sendiri akan dinilai oleh rakyat dalam PRU14 ini yang dianggapnya sebagai luar biasa.

“Pilihan raya kali ini luar biasa. Peluang Pakatan Harapan mencapai kemenangan adalah amat tinggi kerana setiap anggota parti dalam Pakatan Harapan masing-masing melakukan pengorbanan.

“Bukan satu, dua (parti) tetapi semua berkorban dan pengorbanan PH ini amat jelas dapat dilihat dan dinilai oleh seluruh pengundi,” katanya dalam program Fokus yang disiar secara langsung di Oren TV malam tadi.

Paling terbaharu, jelasnya, DAP apabila parti berlambangkan roket itu sanggup tidak menggunakan logo parti mereka demi menjamin imej Pakatan Harapan yang padu dan utuh.

“Mereka sanggup tidak menggunakan lambang roket yang cukup dikenali rakyat dan telah mereka gunakan kira-kira 60 tahun.

“Jadi, tidak ada sebab mana-mana pengundi berasa risau sekiranya Pakatan Harapan akan berbalah apabila menang nanti,” tegasnya.

Menurutnya, DAP terbukti melakukan pengorbanan besar untuk menggunakan logo PKR pada PRU kali ini walaupun DAP bertanding di kawasan yang jika diikutkan tidak perlu pun menggunakan lambang parti lain.

Pada masa sama, jelasnya, PKR juga terlebih awal melakukan pengorbanan walaupun lambang parti mereka digunakan oleh semua parti termasuk DAP.

“Hakikatnya pemimpin dan pengikut tegar mereka sejak Reformasi lagi terlebih dahulu telah melakukan pengorbanan apabila bersetuju menerima Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan bakal Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi cukup kerusi untuk ke Putrajaya.

“PKR sanggup mengetepikan peraaan marah, dendam, benci dan melupakan perkara lalu yang pahit dan menyayat hati bagi menentukan gabungan PH bersatu dan bersama menghasilkan cabaran cukup berkesan terhadap Najib dan BN.

“Tun Mahathir pun ada menyebutkan hal ini dalam Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam lalu,” ujarnya.

Bahkan, Khalid berpandangan Bersatu juga telah berkorban apabila membentuk parti baharu selepas keluar dari Umno biarpun ada yang sudah puluhan tahun berada di dalamnya serta mendapat kuasa dalam kerajaan.

“Mereka yang daripada parti pemerintah keluar dari Umno hingga terpaksa menempuh ranjau penuh liku untuk membina Bersatu dan menarik sokongan daripada Umno bagi menjatuhkan Najib dan BN pada PRU kali ini

“Ia bukan satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi seorang yang menjadi Perdana Menteri untuk 22 tahun tetapi kemudiannya datang duduk semeja dengan mereka yang pernah menjadi lawannya dahulu.

“Ianya satu pengorbanan, datang berdamping dengan orang yang pernah menjadi musuh dan memohon kerjasama dalam usaha menjatuhkan BN dan Najib,” hujahnya.

Begitu juga AMANAH, jelasnya, turut melakukan pengorbanan besar apabila memutuskan untuk keluar dari Pas meskipun ada yang bersama parti bulan itu sejak zaman remaja lagi.

“Ada yang berpuluh tahun membina Pas, akhirnya keluar tubuhkan AMANAH sebagai parti baharu.

“Sehingga kami berdepan pelbagai ancaman, gelaran menghina, dimaki, solat hajat dan doa laknat oleh agamawan yang sepatutnya menzahirkan akhlak jauh lebih mulia seperti ditunjukkan oleh Rasullullah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Khalid menyifatkan semua bentuk pengorbanan oleh keempat-empat parti dalam PH itu hanya bagi memastikan hasrat rakyat untuk melihat perubahan tercapai.

“InsyaAllah, rakyat akan dibebaskan daripada dibelenggu oleh BN. Keempat-empat parti berkorban demi menjamin kemenangan rakyat.

“Rakyat sekarang jelas ditindas dan Umno-BN hanya ingin memaksa kepimpinan mereka ke atas rakyat dengan sedaya upaya menggunakan tipu helah dan salah guna kuasa bagi memastikan mereka tetap akan memrrintah walaupun rakyat sudah tidak mahu,” tegasnya lagi.

8.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 8.0