Malaysia Dateline

Semua menuding jari kepada Azmin dan Hamzah, kata ahli MT Umno

Semua menuding jari kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainudin berikutan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengistiharkan darurat, dakwa ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi (gambar).

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti kecewa, panas, tidak boleh tidur malam dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu itu.

“Pertemuan di rumah beliau malam tadi memang emosi. PPBM sedang tuduh menuduh. Semua menuding jari ke arah Azmin dan Hamzah,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Beliau bertanya, “Benarkah “ill advise” kepada Muhyiddin itu adalah mereka.”

Bagi bekas Ketua Pengarah Jasa, agensi propaganda kerajaan BN sebelum ini, ada dua kesan besar apabila YDP Agong menolak permohonan Muhyiddin.

“Pertama, YDP Agung menyedari “langkah Muhyiddin” itu hanyalah muslihat politik bukan untuk memerangi Covid-19,” kata beliau.

Di para tiga kenyataan media Istana Negara, dinyatakan….”Al-Sultan Abdullah merasakan Kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan”.

“Kalau YDP Agung yakin, kenapa PM tidak yakin. Apakah PM cuba membohongi YDP Agung? Alhamdulillah, YDP Agung dan Majlis Raja Raja amat teliti dan bijaksana,” katanya.

Kedua, kata beliau, ramai pakar perundangan mengatakan YDP Agong harus mendengar nasihat Perdana Menteri seperti termaktub dalam Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Tapi nampaknya nasihat Memanda Menteri tidak diterima. Maka di mana kredibiliti seorang Perdana Menteri.

“Syukur, YDP Agong tidak dipengaruhi oleh game politik yang boleh mengheret negara ke kancah lebih parah. Kesejahteraan rakyat lebih utama,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan Muhyiddin “Sewajarnya TS Muhyiddin berundur.”