Malaysia Dateline

Semua MP dapat vaksin, bukalah Parlimen

Jemaah Menteri yang akan bermesyuarat Rabu depan perlu berbincang untuk membuka semula persidangan Parlimen menjelang hujung April nanti.

Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pada tempoh itu kesemua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sepatutnya sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Beliau menegaskan, tidak ada alasan lagi untuk kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus-menerus menutup Parlimen atas empat sebab utama.

“Antaranya, Parlimen boleh menolak untuk membenarkan Ahli Parlimen yang belum menerima vaksin daripada hadir ke Parlimen.

“Amat mengarut dan memalukan jika kebanyakan sektor ekonomi dibuka tetapi Parlimen tidak dibenarkan bersidang.

“Ordinan Darurat yang menaikkan kadar kompaun RM10,000 dan pengenalan Ordinan Darurat Berita Tidak Benar telah menambahkan defisit keyakinan masyarakat terhadap langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi menangani Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kit Siang, undang-undang itu juga dilihat sebagai terlalu menekan, tidak berpatutan, tidak masuk akal dan tidak adil.

Ordinan-ordinan Darurat ini menurutnya perlu digantung penguatkuasaannya sehinggalah mendapat kelulusan Parlimen.

Selain itu, Kit Siang menjelaskan perkara paling utama mengapa Parlimen perlu bersidang adalah kerana Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan bahawa proklamasi darurat tidak seharusnya menghalang Parlimen daripada bersidang.