Semua MP KL dapat peranan baru sebagai anggota pentadbiran kerajaan

Semua MP KL dapat peranan baru sebagai anggota pentadbiran kerajaan
Khalid kini menambah lagi peranan para ahli Parlimen di Kuala Lumpur untuk membolehkan mereka bertindak sebagai kerajaan bukan lagi sebagai pembangkang.

Selepas berjaya dengan Majlis Menteri, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mara setapak lagi ke depan untuk meningkat peranan wakil yang dipilih rakyat dengan melantik ahli-ahli parlimen di Kuala Lumpur dalam pentadbiran ibu kota.

Hari ini Khalid mengumumkan, enam Ahli Parlimen di Kuala Lumpur yang belum memegang apa-apa jawatan dalam pentadbiran kerajaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa portfolio yang dibentuk.

Mereka adalah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik dalam portfolio Pendidikan, Bukit Bintang Fong Kui Lun (Pelancongan, Seni dan Budaya), Batu P Prabakaran (Belia dan Sukan), Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Kesihatan dan Hal Ehwal Wanita), Kepong Lim Lip Eng (Trafik dan Infra) dan Lembah Pantai Fahmi Fadzil (Sosial dan Pembangunan Ekonomi).

“Saya berharap, ia memberikan pendedahan dan pengalaman kepada mereka untuk terlibat dalam pentadbiran negara berbanding hanya sebagai ahli parlimen pembangkang sebelum ini,” kata Khalid ketika mengumumkan keputusan itu.

Perlantikan ini, katanya, bertujuan untuk membantu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan fungsi-fungsi yang disebut dalam portfolio tersebut.

Surat perlantikan ini telah diserahkan kepada setiap Ahli Parlimen berkenaan semasa mesyuarat Majlis Menteri yang diadakan di DBKL pada 27 Mei 2019 yang lalu.

Menurut Khalid, kebanyakan portfolio ini akan dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham.

“Saya sendiri akan mempengerusikan portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya manakala YB Timbalan Menteri, Datuk Dr Shahrudin Mohd Salleh akan mempengerusikan portfolio Sosial dan Pembangunan konomi,” katanya.

Khalid berharap, dengan perlantikan ini, semua yang dilantik dapat menjalankan tugas dengan baik bagi membantu portfolio masing-masing di KWP dan DBKL.

“Saya juga berharap mereka dapat berhubung terus dengan badan dan ajensi kerajaan yang terlibat dalam menjalankan tugas-tugas mereka,” katanya.

Sebelum ini ahli parlimen di Kuala Lumpur hanya berperanan sebagai pembangkang sahaja dan tidak terlibat dengan pengurusan pembangunan atau terlibat dalam DBKL.