Malaysia Dateline

Semua MP Warisan sokong pencalonan Anwar, kata Shafie

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mengesahkan semua ahli parlimen Warisan menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dengan syarat Anwar boleh mencukupkan majoriti di Dewan Rakyat.

“Kita ada muafakat diantara pembangkang. Tadi pun di Istana, saya bincang dengan Anwar dan Lim Guan Eng. Mat Sabu dan Tun Mahathir juga saya bincang.

“Kita pembangkang sudah putus kita ada dua calon PM. Anwar dan saya juga. Kita asaskan 105 yang ada. Ini pemuafakatan kita. Siapa yang dapat raih untuk jadi calon pilihan, kita kena akur.

“Jika Datuk Seri (Anwar) ada jumlah, kita putus kita bagi sokongan. Jika ada sokongan pada saya, pun begitu, sama juga. Saya cakap dengan Mat Sabu. Saya cakap dengan Guan Eng. Kita sepakat dan mereka setuju,” kata Shafie dalam temuramah beliau dengan Astro Awani malam ini.

105 MP adalah bilangan MP yang mewakili PKR (38), DAP (42), AMANAH (11), Warisan (8), Pejuang (4), PSB (2), Upko (1) dan Bebas (2).

Dalam temuramah itu, Shafie juga menafikan beliau akan menyokong pencalonan pihak lain sebagaimana yang digembar gemburkan.

“Kita faham di luar sana, ada yang kata saya tak sokong itu, saya tak sokong ini. Itu tak betul. Malahan saya diwar-warkan bakal menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan kepada pihak yang lain.

“Itu hanya spekulasi saja,” kata beliau kerana mereka lah yang telah menjatuhkan kerajaan yang telah dibina berdasarkan mandat rakyat pilihan raya umum yang lalu.

PEJUANG JUGA BERSAMA PH

Sementara itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, partinya juga mengutamakan sokongan kepada Pakatan Harapan sekarang.

“Kita harap bahawa pihak PH akan usahakan dan maklumkan kepada kami bahawa mereka sudah mempunyai jumlah mencukupi. Jadi kita akan jalan terus selepas itu.

“Kita terbuka kepada ketiga-tiganya (Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), tapi keutamaan kami tentu bersama PH. Jadi calon pertama dan kedua adalah yang kami beri tumpuan ketika ini,” katanya dalam wawancara dengan Astro Awani.