Semua negeri disaran ikuti Kedah adakan Konvensyen PH, kata Anwar

Semua negeri disaran ikuti Kedah adakan Konvensyen PH, kata Anwar

Konvensyen Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah yang telah diadakan semalam berjaya setelah ia dihadiri lebih 700 hadirin yang terdiri daripada ahli dan pimpinan PH negeri Kedah.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku serta diiringi oleh bacaan doa.

Pengerusi PH Negeri Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil tempat selepas Ketua Sekretariat PH negeri, Dr Abdul Rahman Ahmad berucap.

Mukhriz dalam ucapannya turut menegaskan mengenai komitmen bersungguh-sungguh kerajaan negeri untuk menyelesaikan pelbagai masalah infrastruktur dan juga kemudahan asas melalui barisan exco yang menerajui portfolio masing-masing.

Malah katanya lagi, kerajaan negeri turut mendapat dokongan kerajaan pusat bagi menyelesaikan pelbagai masalah termasuk isu bekalan air.

Selain beliau, barisan exco kerajaan negeri turut menggulung perbahasan setelah beberapa perwakilan dari komponen PH menyampaikan usul dan perbahasan.

Manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis perasmian penutup konvensyen tersebut turut memuji kepimpinan PH negeri Kedah yang telah berjaya menganjurkan konvensyen sedemikian.

“Penganjuran Konvensyen PH sepertimana yang diadakan pada kali ini oleh negeri Kedah amat baik dan perlu menjadi ikutan kepada negeri-negeri lain.

“Ia seharusnya menjadi ikutan negeri-negeri lain kerana ia memberi peluang dan ruang kepada pimpinan kerajaan negeri untuk mendengar suara rakyat bawahan.

“Di samping itu kita dapat menyatakan tindakan yang telah berjaya diambil dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” ujarnya.

Kesemua barisan exco kerajaan negeri mengambil peluang untuk menzahirkan tindakan yang telah berjaya diambil serta akan dilaksanakan menurut portfolio masing-masing.

Bermula dengan isu bekalan air, sukan dan belia, keusahawanan, kebajikan, pelaburan, pendidikan dan kesihatan serta peluang pekerjaan turut mendapat perhatian barisan exco.

Masalah penoreh getah, pekebun dan peladang turut mendapat perhatian exco terbabit melalui beberapa tindakan yang akan dilaksanakan bagi menyelesaikan beberapa isu membabitkan golongan tersebut.

Perbahasan hangat yang mendapat perhatian ialah plantikan Ahli Majlis PBT dan MPKK, peluang pekerjaan dan kontrak serta juga tender terbuka yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi memberi peluang kepada semua pihak bagi mendapat ruang yang disediakan.

Turut disediakan ialah pameran bagi setiap portfolio exco kerajaan negeri bagi memberi pendedahan kepada perwakilan dan pemerhati untuk mendapat makluman sebenar mengenai perkembangan setiap barisan exco kerajaan negeri.